PETALING JAYA: Nama bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kini mula meniti di bibir dan menjadi topik hangat di bumi Hang Tuah bagi menggantikan Risto Vidakovic yang telah ditamatkan kontraknya selaku jurulatih Melaka United FC (MUFC).
Cheng Hoe sebelum ini pernah membimbing skuad Lang Merah pada 2014 hingga 2017 dan membantu pasukan itu menjuarai trofi Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.
Pengendali berusia 54 tahun itu dianggap sebagai salah seorang jurulatih berpengaruh di Malaysia selepas menjadi pengendali Harimau Malaya sejak 2018 sebelum meletakkan jawatan selepas prestasi hambar pasukan pada kempen Piala AFF Suzuki 2020 yang lepas.
Zainal pula menjadi pengendali Melaka sejak 2018, tetapi sentuhannya tidak lagi diperlukan walaupun berjaya membantu pasukan mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2021.
Desas-desus kehadiran Cheng Hoe bagi membimbing Sang Kancil mungkin ada benarnya selepas pemilik MUFC, Datuk Seri Justin Lim mengesahkan telah mengenal pasti individu berpengalaman untuk menggalas tugas dikosongkan Vidakovic.
“Sudah kenalpasti calon bagi isi jawatan tersebut dan kita akan umumkan awal minggu depan.
“Dia (jurulatih) memiliki pengalaman dan memahami selok belok saingan Liga Malaysia (Liga M).
“Mungkin jurulatih tempatan, mungkin jurulatih asing, jadi tunggulah kita akan umumkan awal minggu depan,” katanya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Vidakovic yang merupakan jurulatih kelahiran Bosnia & Herzegovina ditamatkan kontraknya selepas hanya bersama Melaka mengharungi empat aksi Liga Super musim ini.
Vidakovic berusia 53 tahun dari kelab Liga 1 Indonesia, Borneo FC gagal memastikan kemenangan buat skuad Sang Kancil selepas empat perlawanan dengan hanya mengutip satu mata sahaja.
Penolong ketua jurulatih, Mohd Asri Ninggal telah diberi tugas bagi melatih pasukan menjelang aksi menentang Sri Pahang di Stadium Darul Makmur, esok.