Setia Foundation santuni 240 keluarga asnaf

Setia Foundation santuni 240 keluarga asnaf

SUKARELAWAN Setia Foundation menyantuni golongan asnaf sempena program Sincerely Setia, Ramadan Mubarak di LakePoint Gallerie, Setia AlamImpian, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: S P Setia Foundation (Setia Foundation) menerusi program ‘Sincerely, Setia Ramadan Mubarak’ berjaya menyalurkan bantuan kepada 240 keluarga asnaf di tiga perbandaran miliknya bagi meringankan beban persiapan Aidilfitri.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Perumahan Kinrara Berhad (PKB) itu melibatkan agihan zakat wakalah berjumlah RM67,200 serta bakul makanan Ramadan di kawasan Bandar Kinrara, Setia EcoHill dan Setia AlamImpian.

Setiap keluarga menerima wang zakat sebanyak RM200 daripada PKB serta bakul makanan bernilai RM80 yang mengandungi barangan keperluan asas seperti minyak masak, ketupat nasi, kuah kacang, tepung dan pelbagai barangan lain.

Pemegang Amanah Setia Foundation merangkap Ketua Pegawai Operasi S P Setia, Datuk Yuslina Mohd Yunus berkata, inisiatif tahunan ini mencerminkan komitmen jangka panjang yayasan dalam memperkasakan kesejahteraan komuniti, terutamanya golongan yang memerlukan di sekitar kawasan pembangunan syarikat.

“Aspirasi kami di Setia Foundation melangkaui bantuan jangka pendek. Kami fokus untuk membina komuniti yang lebih berdaya tahan dengan menangani keperluan mendesak dalam kalangan asnaf, orang kurang upaya (OKU) dan golongan miskin tegar.

“Melalui agihan zakat ini, kami bukan sahaja mahu memudahkan persiapan raya mereka, malah memperkukuh budaya prihatin dan inklusiviti yang menjadi teras identiti S P Setia sebagai warga korporat yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Program tersebut dilaksanakan di tiga lokasi utama iaitu Masjid Al-Ehsan Bandar Kinrara pada 5 Mac, Club 360 Setia EcoHill (10 Mac) dan LakePoint Gallerie, Setia AlamImpian (12 Mac). 

Seramai 86 sukarelawan turut menyumbang lebih 600 jam tenaga bagi menjayakan siri jelajah ini.

Selain bantuan daripada yayasan, Yuslina turut menaja secara peribadi beg beras lima kilogram (kg) untuk setiap keluarga, manakala Amari Kuala Lumpur turut menyumbang cenderamata termasuk biskut raya yang disediakan khas oleh cef hotel berkenaan.

Antara komuniti yang menerima manfaat termasuklah penduduk dari Kampung Rinching Hulu, Kampung Sesapan Kelubi, Pangsapuri D’Cerrum serta kariah Masjid Alam Impian dan Surau Al-Muhtadin.

Ditubuhkan pada tahun 2000, Setia Foundation terus komited memacu agenda sosial di bawah kerangka alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat dengan memfokuskan kepada tiga objektif utama iaitu kesejahteraan komuniti, bantuan bencana dan pendidikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×