KOTA BHARU: Pengendali Kelantan FC Rezal Zambery Yahya memuji kebangkitan yang dilakukan oleh barisan pemainnya sehingga berjaya menewaskan Perak FC 3-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Perak, semalam.
Rezal Zambery berkata, pujian itu wajar dihamburkan selepas mereka berusaha bermati-matian walaupun ketinggalan 0-1 kepada lawan pada babak pertama selain seorang pemain Kelantan FC
Danial Hadri Effendi Jagan dilayankan kad merah.
Menurutnya, situasi itu nyata tidak menggugat ‘mental’ pemain The Red Warriors (TRW) apabila mereka mempamerkan kebangkitan menakjubkan pada babak kedua.
“Bertemu Perak FC bukan tugas mudah buat kami kerana lawan mempunyai pemain yang berkualiti.
“Anda boleh lihat sendiri tentangan yang diberikan oleh Perak FC kepada kami cukup sengit pada perlawanan tersebut,” katanya.
Rezal memberitahu, bagaimanapun TRW tidak boleh berasa lega dengan keputusan itu kerana masih wujud kelemahan yang perlu diperbaiki dalam mengharungi saingan musim ini.
Katanya, setiap kesempatan yang ada perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan Kelantan FC tidak terus keciciran mata.
Pada perlawanan itu, Perak FC selaku tuan rumah rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-20 apabila Nazmi Ahmad memanfaatkan bola muntah dari tangkapan Ahmad Solehin Mamat untuk menjaringkan gol pendahuluan.
Jarigan kemenangan Kelantan FC disumbangkan oleh bekas penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu Nurshamil Abd. Ghani (minit ke-47 dan 70) dan Syed Sobri Syed Mohd (minit ke-65).
Kerancakkan permainan terganggu pada minit ke-43 apabila dua pemain iaitu Danial Hadri Effendi Jagan (Kelantan FC) dan Royizzat Daud (Perak) masing-masing dilayangkan kad merah oleh pengadil Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman .