MADRID: Pep Guardiola memilih untuk tidak terbabit dalam perang mulut dan reaksi terhadap pemain Atletico Madrid susulan aksi panas di dalam dan luar padang termasuklah menuju ke bilik persalinan selepas skuad bimbingannya mara ke pentas separuh akhir Liga Juara-Juara.
Situasi tegang membabitkan pertembungan Atletico Madrid selaku tuan rumah menentang City pada aksi suku akhir bermula selepas pertahanan tengah tuan rumah, Felipe dibuang padang selepas mengasari Phill Foden pada separuh masa kedua.
Permainan keras terus berlarutan sehinggalah tamat perlawanan dengan keputusan seri tanpa jaringan memberi kelebihan buat City mara dengan agregat 1-0 selepas menang tipis di Etihad, minggu lalu.
Tidak hanya terhenti selepas wisel penamat dibunyikan, aksi tegang berterusan apabila pemain tuan rumah, Sime Vrsaljko meludah Kyle Walker sebelum dihalang polis.
Pertahanan itu terpaksa dipisahkan kakitangan Atletico ketika dia cuba bergaduh dengan pemain City dalam terowong.
“Tiada apa yang perlu diperkatakan, semua orang melihatnya, saya tidak boleh bercakap mengenai apa yang orang lain buat.
“Menentang juara Sepanyol sememangnya sukar dan pemain benar-benar telah melakukannya,” tegas Guardiola.
“Tidak elok bercakap mengenainya dan saya tidak peduli kerana selepas dua perlawanan, kami bermain dengan menakjubkan menentang pasukan berpengalaman dalam apa yang mereka lakukan.
“Kami mengawal kemarahan kami dan amat mudah untuk masuk ke dalam keadaan seperti itu.”
“Kami tahu bukan mudah untuk ke sana, ada keadaan tidak tenteram, secara keseluruhan ia sukar dan bagaimana kami bertahan dan mengawal diri dalam dua perlawanan amat menakjubkan,” tambah pertahanan City, John Stones.
Bagi kapten Altetico Madrid, Koke menyifatkan pemain telah memberikan segalanya untuk layak ke empat terakhir.
“Saya bangga dengan setiap rakan sepasukan, apabila anda memberikan semuanya di atas padang, tiada apa yang perlu dikesali. Memang memalukan dan kami agak kecewa,” ujarnya. –AGENSI