‘Syawal sepi tanpa Amir Amsyar’

‘Syawal sepi tanpa Amir Amsyar’

KENANGAN sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu antara Norhidayah Safii dan Mohd. Azlan Jalil bersama Allahyarham Muhamad Amir Amsyar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini paling sepi buat pasangan suami isteri, Norhidayah Safii, 43, dan Mohd. Azlan Jalil, 43, dari Kampung Batu Enam di sini, yang menyam­butnya tanpa kehadi­ran anak tunggal tersayang.

Kenangan bersama Allahyarham Muhammad Amir Amsyar Mohd. Azlan, 12, yang pergi buat selama-lamanya pada 20 November tahun lalu akibat leukemia masih segar dalam ingatan menjadikan Syawal kali ini berasa kosong buat mereka.

Norhidayah berkata, anaknya disahkan menghidap penyakit leukemia jenis Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL) berisiko tinggi selepas dua hari dima­sukkan ke wad Hospital Sulta­nah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada Jun tahun lalu.

“Doktor maklumkan peluang sembuh hanya sekitar 30 peratus. Sepanjang dirawat, Allahyarham hanya sempat menjalani tiga kali rawatan kemoterapi sebelum keadaannya semakin merosot.

“Keadaan menjadi kritikal apabila ususnya bocor menyebabkan rawatan tidak dapat diteruskan dan doktor mengklasifikasikannya sebagai pesakit paliatif,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurut Norhidayah, Allahyarham Muhammad Amir Amsyar dimasukkan ke wad pada 15 Jun sebelum dibenarkan pulang pada 17 November lalu namun hanya tiga hari kemudian anak kesayangannya itu menghembuskan nafas terakhir di zon merah HSNZ.

“Sepanjang 155 hari di hospital, saya memberi sepenuh perhatian kepada dia. Banyak perkara yang kami lalui bersama, terlalu banyak kenangan yang tidak mampu dilupakan,” katanya.
Menurutnya, Aidilfitri tahun ini disambut secara ala kadar kerana masih diselubungi ke­sedihan.

“Kami cuma sediakan sepasang baju, itu pun sekadar untuk meraikan sebulan berpuasa. Memang tak ada rasa untuk raya, rumah pun tak dihias seperti biasa. Rasa kehilangan itu terlalu kuat,” katanya.

Ujarnya, suaminya setiap hari menziarah pusara anaknya itu sebagai mengubat rindu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN