Gara-gara rasuah RM700, kakitangan KPDNHEP didenda RM2,000

Gara-gara rasuah RM700, kakitangan KPDNHEP didenda RM2,000

MUHAMAD Basri Bonari didenda RM2,000 setelah mengaku bersalah menerima rasuah RM700 di Muar ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang kakitangan kerajaan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan pilihan menerima suapan sebanyak RM700 dalam kejadian di Muar, tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Basri Bonari, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan berkenaan dibacakan di depan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Pembantu Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Muar menerima suapan daripada pengurus besar sebuah syarikat pembekal barangan kawalan.

Muhamad Basri didakwa melakukan perbuatan itu di stor syarikat berkenaan pada pukul 4.55 petang, 10 Mei tahun lalu atas dorongan agar tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap syarikat berkenaan.

Atas kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, tertuduh yang merupakan bapa kepada tiga orang anak itu telah menghantar beberapa pesanan ringkas secara ‘voice note’ kepada pemberi suapan untuk meminta ‘duit raya’.

Peguam tertuduh, Tan Song Yan dalam rayuannya memberitahu tertuduh mempunyai masalah kesihatan di bahagian jantung dan sedang menjalani rawatan di Hospital Muar selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin pula meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal kepada tertuduh kerana perbuatan berkenaan telah mencemar imej KPDNHEP.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 kepada tertuduh dan satu bulan penjara sekiranya gagal bayar.

Tertuduh membuat pembayaran denda berkenaan sejurus selesai proses mahkamahnya sambil ditemani peguam dan dua rakannya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN