PETALING JAYA: Alliance Bank Malaysia Berhad mengumumkan acara tahunan Heritage Run 2026, edisi khas sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Heritage Run dijadualkan berlangsung pada 12 Julai 2026, menawarkan pengalaman larian yang dipertingkatkan, barangan eksklusif edisi terhad serta hadiah wang tunai sehingga RM20,000.
Selepas kejayaan edisi 2025 yang menarik penyertaan seramai 5,500 peserta, acara tahun ini dijangka menarik lebih ramai peserta dari dalam dan luar negara.
Peserta boleh memilih tiga kategori iaitu larian tiga kilometer (km) yang sesuai untuk keluarga dan pemula, larian 10 km (kategori baharu untuk pelari pertengahan) serta larian 21 km (separuh maraton) untuk pelari berpengalaman.
Alliance Bank berkata, buat pertama kalinya, kategori tiga km akan menampilkan cabaran ‘Pakaian Terbaik Keluarga’, di mana peserta digalakkan memakai pakaian tradisional.
“Acara ini akan berlangsung sekali lagi di Padang Kota Lama, menjadikannya bukan sekadar acara sukan tetapi juga platform meraikan warisan dan kepelbagaian budaya Pulau Pinang.
“Sepanjang laluan, khususnya bagi kategori tiga km, peserta akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan secara langsung.
“Selaras dengan komitmen terhadap kelestarian pingat penamat diperbuat daripada buluh lestari, lanyard diinspirasikan daripada batik tempatan serta beg kanvas eksklusif boleh guna semula disediakan,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, reka bentuk T-shirt adalah unik mengikut kategori, diinspirasikan daripada elemen budaya Pulau Pinang seperti kebaya, mi udang dan kasut manik.
Acara ini turut menampilkan aktiviti interaktif seperti lukisan kolektif berskala besar, memberi peluang kepada peserta untuk terlibat dalam usaha pemeliharaan budaya.
Heritage Run merupakan satu daripada inisiatif utama bank dalam memperkukuh hubungan komuniti serta menyokong pemeliharaan warisan George Town, selari dengan matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG 11.4).
Bagi mereka yang berminat, yuran penyertaan bermula dari RM39 (harga pelancaran).
Pendaftaran dibuka dari 24 April hingga 30 Jun 2026 atau sehingga slot penuh dan maklumat lanjut dan pendaftaran, layari laman web rasmi Alliance Bank. – UTUSAN










