KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan semua jawatan berkaitan kerajaan.
Dalam kenyataan dikeluarkan USNO, peletakan jawatan itu dinyatakan secara rasmi semasa pertemuan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merangkap Pengerusi GRS, semalam.
“Keputusan Presiden USNO itu juga disahut secara sebulat suara pada 22 April 2026 dalam Mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) USNO untuk keluar daripada gabungan GRS.
“Antara justifikasi awal tentang keputusan USNO ini ialah disebabkan sudah tidak wujudnya keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
“USNO juga mengambil pendirian untuk kekal sebagai parti politik yang berteraskan perjuangan pribumi tempatan Sabah dan akan komited dalam proses semak dan imbang.
“USNO juga mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi GRS serta semua rakan komponen GRS atas kebersamaan sebelum ini,” katanya.
Dengan peletakan jawatan Pandikar, GRS kini dianggotai lima parti komponen iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Pada Oktober tahun lalu, keanggotaan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) dalam GRS tamat selepas kedua-duanya menyatakan keputusan untuk bertanding solo pada PRN. – UTUSAN










