Zamsaham 'jangan cakap kosong', datang jumpa FAM - Utusan Malaysia

Zamsaham ‘jangan cakap kosong’, datang jumpa FAM

HAMIDIN MOHD. AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuka pintu seluas-luasnya untuk pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sekiranya benar-benar mahu membantu badan induk itu, mewujudkan video bantuan pengadil (VAR) dalam Liga Malaysia (Liga M).

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan Norizam boleh datang berjumpa dengan beliau sendiri atau pengurusan badan induk itu tanpa perlu bercakap kepada media.

“Saya ingat kalau dia ada minat pun, dia terus cakap dengan FAM. Saya punya komen senang, kalau dia nak apa ke bantu FAM, dia datang jumpa saya atau banyak orang dalam FAM, tak perlu cakap dalam media,” jelas Hamidin.

Hamidin berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Rasmi Livery Pesawat Airbus 330-300 Harimau Malaya di sini, semalam.

Norizam atau Zamsaham menyuarakan hasrat tersebut menerusi satu temu bual di saluran YouTube Harimau Malaya dengan mendesak FAM supaya menggunakan teknologi VAR bagi meningkatkan mutu pengadilan dalam Liga M.

Malah, Zamsaham menyatakan kesanggupannya untuk membeli VAR dahulu buat FAM sekiranya teknologi berkenaan terlalu mahal dan di luar kemampuan badan induk itu.

“Kalau pengadil di tengah padang mengadili dua pasukan sedang bertanding, dia kena profesional. Sebab itu saya mencadangkan juga VAR, bagus benda itu, jadi apa-apa kita boleh rujuk kepada video.

“Kalau negara Eropah sudah gunakan untuk sistem pengadilan, kenapa Malaysia tak pakai. Apa benda yang susah sangat? Apakah benda itu sangat mahal?

“Jadi saya sendiri, kalau mahal sangat tak apa, saya boleh sub, saya boleh beli sistem itu bagi kepada FAM dan mungkin saya boleh buat sedikit bisnes, ada sedikit untung.

“Pada saya kita kena pakai sistem itu supaya mutu pengadilan di Malaysia dipertingkatkan. Kalau mutu pengadilan bagus, saya rasa tiada masalah untuk tahap industri bola sepak Malaysia meningkat,” katanya Zamsaham.

Sebelum ini, kos memasang VAR di satu stadium dilaporkan boleh mencecah AS$150,000 (RM627,000), dengan nilai sekitar RM7.5 juta untuk 12 stadium dalam saingan Liga Super sahaja, tidak termasuk untuk pasukan Liga Perdana.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya