Vaksinasi Covid-19: Khairy saman Lokman, Mohd. Rasyiq - Utusan Malaysia

Vaksinasi Covid-19: Khairy saman Lokman, Mohd. Rasyiq

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari menetapkan 17 Februari ini untuk pendengaran permohonan injunksi inter-parte (kedua-dua belah pihak) dalam kes saman fitnah di antara Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dan pendakwah bebas, Mohd. Rasyiq Mohd. Alwi.

Menurut semakan dalam sistem mahkamah, tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini. Pendengaran permohonan injunksi itu juga akan dijalankan secara dalam video.

Pada 25 Januari lalu, Khairy, 46, yang memfailkan saman tersebut selaku plaintif dan atas kapasiti peribadi mendakwa Lokman, 69, dan Mohd Rasyiq, 41, yang dinamakan sebagai defendan dalam saman berasingan mendakwa kedua-dua individu tersebut telah memfitnahnya berhubung program vaksinasi negara dan vaksin serta dos penggalak yang diterimanya.

Menurut pernyataan tuntutan yang diperoleh melalui carian mahkamah, Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa Lokman telah memfitnahnya dengan membuat dua kenyataan serta memuat naik gambar di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 6 Januari lalu.

Lokman juga didakwa telah membuat kenyataan berbaur fitnah melalui ‘Facebook Live’ di akaun laman sosial yang sama pada 10 Januari lalu.

Pernyataan fitnah tersebut antaranya menyentuh mengenai program vaksinasi negara dan status vaksinasi Khairy.

Mohd. Rasyiq pula didakwa telah memfitnah Khairy melalui empat kenyataan berbaur fitnah, menyiarkan tiga video serta satu gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober 2021, 6 dan 10 Januari lalu.

Antara kenyataan berbaur fitnah tersebut merujuk kepada vaksinasi Covid-19 yang diterima Khairy dan syarat vaksinasi bagi mereka yang akan mengerjakan umrah.

Plaintif mendakwa, kenyataan berbaur fitnah yang dibuat oleh kedua-dua defendan antara lain menggambarkan Khairy berbohong dan menipu orang ramai bahawa beliau telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.

Khairy mendakwa, ekoran penerbitan kenyataan-kenyataan berbaur fitnah tersebut, beliau telah dibenci oleh orang awam, reputasi dan kredibilitinya terjejas serta menghilangkan kepercayaan orang ramai terhadap dirinya.

Oleh itu, plaintif menuntut kedua-dua defendan membayar ganti rugi am, teladan dan teruk yang akan ditaksirkan oleh mahkamah.

Turut dimohon ialah perintah ke atas kedua-dua defendan agar memadankan kesemua kenyataan, video dan gambar yang berbaur fitnah tersebut dari laman sosial masing-masing dalam tempoh 24 jam dari tarikh penghakiman diterima serta perintah larangan agar kesemua bahan tersebut tidak disiarkan atau diterbitkan semua oleh Lokman dan Mohd. Rasyiq atau ejen mereka dalam apa jua bentuk sekalipun.

Khairy turut memohon permohonan maaf daripada kedua-dua defendan dalam bentuk video dan teks yang akan disiarkan di kesemua laman sosial milik Lokman dan Mohd. Rasyiq selama 30 hari yang boleh diakses oleh orang awam.

Plaintif turut memohon faedah sebanyak lima peratus ke atas jumlah ganti rugi setahun bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta relif-relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya