UMNO sokong Ismail Sabri calon PM - Utusan Malaysia

UMNO sokong Ismail Sabri calon PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dakwaan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan kononnya parti itu yang mencalonkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk diangkat menjadi Perdana Menteri adalah kenyataan yang tidak tepat.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, dakwaan kononnya pencalonan tersebut dibuat Bersatu dan bukannya UMNO adalah sesuatu yang perlu disangkal.

Menurutnya, kenyataan dibuat Wan Saiful itu dilihat memiliki agenda tertentu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

“Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 17 Ogos 2021 bersetuju menyokong Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri kesembila untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Saya melihat kenyataan Wan Saiful itu hanya untuk meraih sokongan pengundi dalam PRN di Johor selain berniat mahu memecahbelahkan perpaduan antara kepemimpinan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


MOHD. YUSOF ISMAIL

Polemik berhubung isu berkenaan mula timbul apabila Wan Saiful membuat dakwaan tersebut dalam kempen ceramah Perikatan Nasional (PN) di Muar yang turut disiarkan secara langsung di laman Facebook Bersatu, kelmarin.

Menurut Wan Saiful, jika bukan Bersatu mencalonkan Ismail Sabri untuk menjadi Perdana Menteri, UMNO mungkin mahukan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi diangkat ke jawatan itu.

Selain itu, Wan Saiful yang juga  Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mendakwa, Ismail Sabri ketika ini mungkin mahu meneruskan kecemerlangan Muhyiddin memerintah negara namun perkara itu tidak dipedulikan oleh ‘kluster mahkamah’. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN