Pola pendaratan ikan pelagik terjejas

Pola pendaratan ikan pelagik terjejas

ADNAN HUSSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pola pendaratan ikan pelagik di negara ini sejak tahun lalu menunjukkan corak tidak sekata apabila beberapa negeri utama merekodkan penurunan ketara.

Kedah menjadi paling terkesan dengan penyusutan seba­nyak 22 peratus, diikuti Perlis (10 peratus) dan Kelantan (enam peratus).

Trend penurunan bagi tempoh 2023 hingga 2024 itu di­jangka menjejaskan lebih 100,000 nelayan laut pantai yang bergantung sepenuhnya kepada sumber tersebut sebagai punca rezeki apabila ia bukan sahaja mengurangkan hasil tangkapan, malah berpotensi mendorong kenaikan harga ikan di pasaran berikutan bekalan yang semakin berkurangan.

Penurunan ini berkemungkinan akibat tekanan haba terhadap ekosistem laut, gangguan kawasan pembiakan semula jadi seperti terumbu karang serta kekurangan nutrien di permukaan laut akibat perubahan sistem arus laut.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, fenomena seperti El Nino turut mempengaruhi sistem upwelling yang penting bagi kestabilan populasi plankton, iaitu sumber makanan utama bagi ikan pelagik.

“Secara keseluruhan, perubahan iklim telah memberikan kesan yang nyata terhadap pola pendaratan ikan pelagik negara. Gangguan terhadap suhu laut, arus serta habitat pembiakan ikan boleh menjejaskan kelestarian stok perikanan dalam jangka panjang.

“Justeru, pemantauan berte­rusan, pengumpulan data saintifik serta pelaksanaan dasar pe­ngurusan perikanan yang adaptif amat penting bagi memastikan kesinambungan sumber perikanan negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim global,” katanya.

Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan, ada kira-kira 112,344 orang nelayan laut di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 102,746 nelayan laut pantai yang bergantung sepenuhnya kepada sumber ikan pelagik, yang ditangkap dalam jarak kurang 55,560 meter dari pantai.

Selebihnya adalah nelayan laut dalam iaitu 9,598 orang yang beroperasi di kawasan perairan yang lebih jauh dari pantai dengan penggunaan vesel moden.

Ikan pelagik ialah ikan yang menghuni ruang air terbuka di lautan, tidak berdekatan dasar laut atau pantai seperti kembung, selar dan selayang yang penting dalam industri perikanan laut di Malaysia.

Persekitaran pelagik marin adalah habitat akuatik terbesar di bumi, menduduki 1,370 juta kilometer padu dan merupakan habitat kepada kira-kira 11 peratus spesies ikan yang diketahui.

Pada 23 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan terumbu karang negara yang diibaratkan ‘rahim kehidupan’ lautan kian pupus apabila hampir 80 peratus memutih dan mati akibat pelunturan melampau.

Sebanyak 50.7 peratus daripadanya terjejas manakala purata 34.1 peratus disahkan mati.

Kemusnahan itu bukan sekadar merosakkan struktur laut, malah menjejaskan ekosistem marin sebagai tempat asuhan benih ikan, pelindung pantai serta penyumbang oksigen. Kha­zanah ini dianggarkan menyumbang RM10.1 juta hingga RM174 juta setahun kepada negara.

Adnan berkata, kejadian kelunturan karang yang membawa kepada kematian besar-besaran koloni karang memberi kesan besar terhadap komposisi ikan dalam ekosistem marin.

Katanya, spesies yang bergantung sepenuhnya kepada terumbu sebagai habitat utama kehilangan tempat perlindu­ngan, pembiakan dan sumber makanan, sekali gus menjejaskan kelangsungan hidup mereka.

“Kesan ini bukan sahaja terhad di kawasan pesisir pantai, malah boleh menjangkau ribuan kilometer ke perairan terbuka,” katanya.

Menurutnya, ikan karang memainkan peranan penting dalam rantaian makanan sebagai mang­sa kepada spesies pemangsa le­bih besar.

Kehilangan habitat akibat kelunturan karang berpotensi mengganggu kitaran makanan serta menjejaskan fenomena spill over daripada kawasan terumbu, iaitu proses semula jadi yang menyumbang kepada ke­seimbangan biodiversiti dan pemuliharaan stok perikanan.

Ikan pelagik

Istilah bagi kumpulan ikan yang hidup di ruang air terbuka laut (bukan di dasar laut atau berhampiran pantai).

Ciri utama ikan pelagik:
Hidup secara berkumpulan; Bergerak aktif di permukaan atau pertengahan air; Migrasi mengikut arus, suhu dan ketersediaan makanan; Makanan utama mereka ialah plankton.

Contoh ikan pelagik di Malaysia:
Ikan bilis, Selar, Kembung, Sardin, Cencaru, Tongkol (tuna kecil)

Bezanya dengan ikan demersal:
Pelagik – hidup di air terbuka, dekat permukaan atau pertengahan laut.
Demersal – hidup di dasar laut, contohnya kerapu, pari, merah.

Ikan pelagik penting kerana:
Menjadi sumber protein utama rakyat (ikan bilis, kembung, sardin).
Membentuk sebahagian besar hasil tangkapan laut negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN