Tutup sekolah bukan alternatif terbaik - Utusan Malaysia

Tutup sekolah bukan alternatif terbaik

PENUTUPAN sementara sesi persekolahan dikhuatiri merencatkan usaha ke arah memasuki fasa endemik. - MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penutupan sektor pendidikan dan melaksanakan semula sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sebagai langkah membendung penularan kes Covid-19 di dalam kawasan sekolah, tidak wajar dilakukan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat berkata, jika kerajaan mengambil langkah mengadakan penutupan sementara sesi persekolahan, ia merencatkan usaha negara ke arah memasuki fasa endemik.

Beliau berkata, penutupan sekolah dengan majoriti yang dijangkiti mengalami gejala ringan adalah tindakan tidak wajar kerana menjejaskan sesi pembelajaran dan menyebabkan lebih banyak pelajar mengalami keciciran.

“Bagi saya, sekolah boleh diteruskan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan serius. Terutama hadkan pergerakan individu keluar dan masuk kerana sekiranya ada kluster, ia mesti berpunca daripada orang yang keluar masuk.

“Asalkan majoriti kes bergejala ringan, kadar kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) rendah. Kita perlu terus mengikut SOP digariskan kerana jangkitan itu sudah berada dalam komuniti terutama Omicron yang menunjukkan kadar jangkitan tinggi,” katanya semasa dihubungi Mingguan Malaysia.

Terdahulu, akhbar melaporkan, sekolah berasrama menjadi penyumbang terbesar bagi Kluster Pendidikan selepas mencatatkan jumlah kes tertinggi sepanjang Januari tahun ini iaitu 108 kluster dan diikuti dengan sekolah menengah harian merekodkan 12 kluster, sekolah rendah harian merekodkan 13 kluster serta prasekolah merekodkan 10 kluster.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berpendapat, jika ingin melakukan penutupan sekolah secara bersemuka, pelajar-pelajar yang bakal mengambil peperiksaan besar perlu kekal berada di dalam sekolah.

Jelasnya, ia bagi memastikan pelajar dapat menjalani sesi pembelajaran yang efektif dan mempersiap diri untuk menghadapi peperiksaan serta mengelakkan wujudnya masalah ketika PdPR.

“Kementerian Pendidikan perlu mengemukakan pelan pemulihan jangka panjang yang konkrit bagi mengatasi isu seperti ini. Jika masalah ini tidak diurus dengan baik ia akan memberi kesan negatif pada pelajar dan proses pembelajaran,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN