KUALA SELANGOR: Kerajaan Negeri Selangor diminta mengkaji semula aktiviti korek pasir di daerah ini, khususnya dekat kawasan Bestari Jaya yang dikatakan menjadi punca berlaku banjir besar, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya pernah menyuarakan kebimbangan penduduk dekat kawasan itu mengenai kerja-kerja perlombongan pasir yang dilihat semakin rancak sejak kebelakangan ini.
Katanya, pada Mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Selangor dua minggu lalu yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, beliau meminta supaya kerajaan negeri bersama Kerajaan Pusat membuat kajian bagi mengenal pasti punca banjir buruk itu.
“Lain tempat lain sebab dan seperti di Bestari Jaya ini lain, puncanya usaha mengorek pasir lombong di sini nampaknya berleluasa. Saya minta kerajaan negeri tolong kaji balik sistem korek pasir lombong di Selangor. Kalau menyebabkan bahaya, berhentikanlah aktiviti korek pasir ini.
“Jangan hanya syarikat tertentu mengaut keuntungan tetapi yang menjadi mangsa adalah rakyat. Jika berlaku banjir seperti ini, kos baik pulih bukan sedikit. Saya ingat keuntungan korek pasir pun tidak boleh cover bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan pada program Sentuhan Kasih Prihatin x DXN.
Program hasil kerjasama Yayasan Prihatin Nasional (YPN) dan DXN Holdings Berhad itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YPN, Datuk Mohd. Aizuddin Ghazali; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Daud Bakar dan Pengerusi Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Abdul Malik Abdullah.
Mengulas lanjut, Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menjelaskan, pelbagai usaha telah dimainkan termasuk melakukan demonstrasi bagi menghentikan aktiviti pengorekan pasir lombong namun tidak dipandang oleh kerajaan negeri.
“Sejarah kawasan ini (Bestari Jaya) asalnya memang kawasan lombong pasir, kita pernah buat demonstrasi tetapi nampaknya tak dipandang oleh kerajaan negeri. Kajian mesti dibuat, tolong berhentikan aktiviti pengorekan pasir yang saya lihat berleluasa di Selangor,” ujarnya.
Sementara itu, bekas Ketua Kampung Bestari Jaya, Yeop Mat Sanip, 75, ketika ditemui berkata, kampung itu pernah dilanda banjir sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1969, 1971 dan terbaharu tahun lalu yang menyebabkan ia seolah-olah sebuah kepulauan apabila air naik setinggi kira-kira tiga kaki (0.914 meter).
Ujarnya, apa yang dibimbangkan penduduk apabila lebih 11 kawasan lombong di situ menjalankan aktiviti pengorekan pasir dipercayai menyebabkan tanah mendap sekaligus mengakibatkan limpahan air ke sungai berhampiran.
“Mereka (korek pasir) guna pam sedut dan bahaya, apa yang kita takut, penahannya hanya jalan raya. kalau dah tarik, tanah rebak dan ke sungai. Kita beri aduan kepada pemimpin masyarakat tentang ketakutan penduduk, tak mustahil (tanah mendap) kalau dibiarkan berlaku. Orang berniaga ini, kita fahamlah, mereka akan ambil (korek pasir) selagi boleh,” katanya. – UTUSAN ONLINE