MELAKA: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan dibuat sebelum 30 Disember iaitu tarikh tamat tempoh penggal pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau berkata, jika pembubaran dibuat pada 30 Disember, PRN perlu diadakan pada bulan puasa yang dijadualkan awal Februari 2027.
“Seperti yang saya katakan PRN Melaka tetap diadakan tahun ini tetapi tarikhnya saya belum mendapat ilham. Tetapi tarikh akhir pentadbiran kerajaan negeri tamat tempoh pada 30 Disember ini.
“Apa yang pasti PRN akan diadakan dalam tempoh enam bulan dari sekarang dan tidak mungkin sampai cukup tempoh, saya minta banyak bersabar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Moreh Ketua Menteri bersama Media Melaka di sebuah restoran di Peringgit di sini, malam tadi.
Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook agar Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan serentak dengan PRN Johor, Melaka dan Sarawak bagi menjimatkan kos pilihan raya, Ab. Rauf berkata, sesiapa sahaja boleh memberi cadangan.
“Cadangan namanya cadangan tetapi keputusannya tidak ada,” katanya.
Mengulas mengenai persediaan menghadapi PRN, beliau berkata, Barisan Nasional (BN) bersedia berdasarkan beberapa pencapaian yang direkodkan sepanjang tempoh pentadbiran kali ini.
“Melaka sudah bersedia menghadapi PRN berdasarkan kejayaan yang dicapai sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Menurutnya, sepanjang hampir tiga tahun bergelar Ketua Menteri, pelbagai inisiatif dan dasar telah dilaksana bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta merancakkan pembangunan ekonomi negeri. – UTUSAN











