Tasik surut, sukar hantar makanan ke Pulau Orang Utan - Utusan Malaysia

Tasik surut, sukar hantar makanan ke Pulau Orang Utan

KEADAAN paras air Tasik Bukit Merah di Bagan Serai, Perak yang surut berikutan uaca panas. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Pihak pengurusan Pulau Orang Utan yang terletak di tengah-tengah Tasik Bukit Merah di sini, berdepan kesukaran menghantar bekalan makanan kepada 14 ekor Orang Utan yang dipelihara di pulau itu disebabkan air tasik berkenaan yang surut.

Ketua Pengurusan Pulau Orang Utan, Norhafizi Mohd. Hafizudin berkata, air yang semakin cetek berikutan cuaca panas dan tiada hujan menyebabkan bot besar tidak dapat digunakan untuk membawa bekalan makanan ke pulau berkenaan.

Katanya, berikutan itu pihaknya terpaksa menggunakan bot kecil bagi tujuan tersebut.

“Untuk ke pulau itu, kami terpaksa menggunakan bot kecil dengan kapasiti antara empat hingga lima orang kakitangan Ranger sahaja. Makanan untuk Orang Utan diangkut menggunakan bot kecil yang dihantar tiga kali seminggu.

“Untuk ke pulau itu mengambil masa antara 45 minit hingga satu jam, tambahan pula jika menggunakan bot kecil semasa air tasik surut. Bot terpaksa mencari laluan yang sesuai bagi mengelak tunggul pokok dalam tasik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurutnya, masalah seperti itu pernah berlaku sebelum ini apabila air tasik surut semasa musim panas.

“Dahulu air tasik ini hampir kering menyebabkan Ranger yang bertugas terpaksa berkayak ke sana Pulau Orang Utan untuk menghantar bekalan makanan ke sana.

“Kali ini keadaannya tidak begitu teruk dan saya berharap perkara sama tidak berulang,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Bukit Merah Laketown Resort, M. Danesh berkata, air tasik yang surut menyebabkan aktiviti rekreasi air seperti berkayak, permainan air dan cruise di resort itu dihentikan sementara operasinya.

“Minimum tasik ini memerlukan antara empat hingga lima kaki aras air untuk membolehkan aktiviti rekreasi air dilakukan.

“Sekarang, berikutan hujan baru-baru ini, air tasik sudah naik kira-kira sekaki, bermakna tasik ini memerlukan empat atau lima kaki lagi kenaikan aras air, kami berharap hujan lagi di kawasan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN