KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bersedia membantu membebaskan sembilan lagi delegasi Malaysia yang kini ditahan rejim Zionis.
“Erdogan menerusi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu bahawa Presiden Turkiye itu terus membantu bagi membebaskan sembilan delegasi Malaysia dari ditahan tentera Israel” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Himpunan Solidariti Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini malam ini.
Terdahulu media melaporkan, sembilan rakyat Malaysia ditahan oleh tentera Israel apabila kapal yang dinaiki mereka dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza dipintas pada pukul 10.50 pagi tadi waktu Malaysia.
Selain itu, Anwar memaklumkan, selepas pembentangan Belanjawan 2026 pada Jumaat ini, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pertubuhan kemanusiaan Sumud Nusantara Malaysia untuk berbincang mengenai usaha membuka laluan bantuan di sempadan Rafah, Mesir.
“Minggu depan selepas Belanjawan, saya akan panggil Sumud Nusantara Malaysia untuk ‘pecahkan’ tembok Rafah di Mesir.
“Selepas berunding, saya akan hubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi supaya laluan misi itu dipermudahkan.
“Kita mahu beri mesej jelas bahawa Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin,” katanya lagi.
Anwar dalam pada itu, memuji keberanian aktivis kemanusiaan dari seluruh dunia yang membawa kesedaran tentang kekejaman Israel ke mata masyarakat antarabangsa.
“Saya bangga dengan perjuangan mereka dan rakan-rakan seluruh dunia. Mereka memberi pencerahan dan hari ini satu dunia berbicara tentang mereka,” katanya.
Perdana Menteri sementara itu menegaskan bahawa rundingan diplomatik dengan mana-mana pihak, termasuk Amerika Syarikat adalah penting demi mencapai kemerdekaan sebenar rakyat Palestin.
“Ada yang desak supaya tolak Donald Trump datang ke Malaysia. Tapi rundingan diplomatik itu penting untuk kemerdekaan.
“Amerika itu sokong Israel, tetapi kita hendak cari penyelesaian dan penyelesaian itu perlukan kebijaksanaan melalui rundingan,” jelasnya.
Beliau menegaskan, perjuangan untuk membebaskan Gaza perlu disertai dengan kebijaksanaan politik, bukan hanya berpaksikan sentimen semata-mata.
“Harap rakan-rakan faham. Jangan ikut sentimen kita, angkuh seolah-olah kita tahu semua. Hina saya atas nama Pengerusi ASEAN kerana menjemput Donald Trump, itu bukan isunya. Politik harus ada, kebijaksanaan harus ada,” katanya. – UTUSAN











