JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri masing-masing direman selama sehari dan dua hari bagi membantu siasatan dakwaaan salah guna kuasa untuk membuat tuntutan palsu bernilai RM40,000.
Perintah reman terhadap tertuduh lelaki yang berusia 32 tahun dan isterinya berusia 30 tahun dikeluarkan Majistret R. Salini, hari ini.
Menurut sumber, wanita yang bertugas sebagai pembantu tadbir sebuah jabatan kerajaan itu telah menggunakan kedudukan dengan memberi kerja-kerja pembekalan kepada syarikat suaminya pada 2020.
Bagaimanapun kerja-kerja pembekalan yang sepatutnya dibuat oleh syarikat tersebut, tidak dilaksanakan.
Sehubungan itu, kedua-dua mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika hadir memberi keterangan di pejabat agensi berkenaan, semalam.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias memaklumkan kedua-dua tertuduh kini disiasat di bawah Seksyen 23 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN










