Puting beliung ketika langit cerah - Utusan Malaysia

Puting beliung ketika langit cerah

PENDUDUK membaiki kerosakan bumbung yang diterbangkan ribut di Kampung Tawas, Ipoh, Perak. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mangsa kejadian puting beliung di Kampung Tawas di sini, kelmarin menyifatkan kejadian itu sebagai pelik kerana berlaku ketika cuaca panas.

Peniaga mi, Wong Chong Sang, 67, berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.45 petang selama lima hingga 10 minit.

Katanya, ketika itu cuaca cerah dan langsung tiada hujan.

“Saya tidak menyangka berlaku puting beliung kerana tiada hujan langsung. Ribut berlaku antara lima hingga 10 minit, angin yang datang terlalu kencang sehingga menerbangkan atap zink rumah saya.

“Saya dan ahli keluarga yang lain berasa amat takut tetapi kami tidak dapat berbuat apa-apa, hanya berlindung di dalam rumah kerana lebih selamat berbanding melarikan diri ke tempat lain.

“Saya lega kerana saya dan ahli keluarga selamat walaupun rumah dan gerai saya mengalami kerosakan teruk,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurutnya, selama 10 tahun tinggal di Kampung Tawas, ia merupakan kejadian pertama dialaminya.

“Puting beliung semalam amat kuat sehingga atap rumah saya tak tahu diterbangkan ke mana,” katanya.

Chong Sang berkata, kejadian itu menyebabkan dia tiada semangat untuk merayakan Tahun Baharu Cina, hari ini.

“Dalam keadaan sekarang, saya tak ada hati nak raya. Untuk majlis makan besar malam ini, mungkin saya akan meraikannya secara sederhana,” katanya.

Puting beliung itu mengakibatkan 219 buah rumah terjejas iaitu 30 rumah di Desa Seri Chepor, 49 rumah di Kampung Tawas dan Kampung Tasek Damai, 30 rumah di Klebang dan 110 buah di Taman Desa Impian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN