BAITULMUQADDIS: Peluasan penempatan haram Israel di Tebing Barat mencatat tahap tertinggi sejak sekurang-kurangnya 2017, iaitu sejak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mula menjejaki data berkenaan.
Menurut laporan itu, pada 2025, pelan bagi hampir 47,390 unit perumahan telah dimajukan, diluluskan atau ditawarkan tender, berbanding kira-kira 26,170 unit pada 2024.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengecam tindakan yang disifatkannya sebagai peluasan ‘tanpa henti’ dalam satu kenyataan yang mengiringi laporan tersebut.
“Ia terus menyemarakkan ketegangan, menyukarkan akses rakyat Palestin ke tanah mereka, serta mengancam kebolehlaksanaan penubuhan sebuah negara Palestin yang benar-benar merdeka, demokratik, bersepadu dan berdaulat,” tegasnya.
Dalam pada itu, kebanyakan kuasa dunia menganggap penempatan Israel di tanah yang ditawan pada perang 1967 sebagai haram.
Pelbagai resolusi Majlis Keselamatan PBB menyeru Israel untuk menghentikan semua aktiviti penempatan.
Israel pula terus menafikan perkara itu dan berkata ia mempunyai hubungan sejarah dan keagamaan (alkitabiah) dengan tanah berkenaan.










