PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Rayan Oram yang disahkan meninggal dunia, hari ini.
Beliau berkata, berita kematian yang disahkan Istana Diraja Maghribi merupakan satu perkhabaran yang menyedihkan.
“Saya dan seluruh keluarga Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Rayan atas pemergiannya. Semoga roh Allahyarham Rayan tenang di sana. Anak syurga milik Allah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Kanak-kanak berusia lima tahun itu terperangkap dalam perigi sempit sedalam 32 meter selama lima hari di kampungnya di Ighran, yang terletak di kawasan berbukit dekat Chefchaouen, utara Maghribi.
Usaha menyelamatkan Rayan sebelum ini menyentuh perasaan seluruh negara dengan usaha menyelamat berdepan cabaran getir dengan kebimbangan berlaku tanah runtuh.
Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki itu ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa, hari ini. -UTUSAN ONLINE