KUALA SELANGOR: Seorang penunggang maut selepas motosikal jenis Honda RS150 ditungganginya terperosok di bawah sebuah kereta Perodua Kelisa dekat Kilometer 24 Lebuhraya Kuala Lumpur – Kuala Selangor (Latar), di sini, awal pagi tadi.
Mangsa, Muhammad Tuah Mohd. Tarmizi, 33, disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan di tempat kejadian.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.28 pagi sebelum menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya.
“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kereta dan motosikal. Seorang lelaki berusia 33 tahun merupakan penunggang motosikal terperosok di bawah kereta.
“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa, namun disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Sementara itu, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut. – UTUSAN










