GUA MUSANG: Suspek yang disyaki memenggal kepala ibu tirinya di Kampung Batu Machang, Jerek, di sini kelmarin kerap bergaduh dengan bapanya kerana sering meminta wang untuk membeli pil kuda.
Bapanya, Abdullah Abdul Rahim, 73, bagaimanapun tidak menyangka suspek sanggup membunuh mangsa yang selama ini melayaninya seperti anak kandung sejak mereka berkahwin 20 tahun lalu.
“Dia adalah penagih dadah dan pernah dua kali dirawat di hospital sakit jiwa akibat pengambilan pil kuda berlebihan. Namun, saya betul-betul tak sangka dia sanggup memenggal kepala isteri saya.
“Sebelum ini banyak kali juga kami bergaduh. Jika tidak memikirkan undang-undang, mungkin saya yang masuk penjara kerana tidak tahan dia sering minta wang untuk membeli pil kuda. Saya menoreh getah bukannya ada duit sangat.
“Saya berharap dia menerima hukuman setimpal dengan perbuatan kejamnya terhadap ibu tirinya itu,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Batu Machang, Jerek, di sini, semalam.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan seorang wanita maut dalam keadaan menyayat hati apabila lehernya putus dipercayai dipenggal anak lelaki tirinya di rumah mereka kira-kira pukul 4.55 petang, kelmarin.
Selepas kejadian, suspek berusia 39 tahun menyerah diri di Balai Polis Bertam di sini, sambil mengaku membunuh Rahana Ab. Razak, 54, sebelum polis menemukan mayat mangsa dalam keadaan kepala terpisah dari badan.
Dalam pada itu, Abdullah berkata, sebelum kejadian, sekitar pukul 4 petang dia ke Balai Polis Bertam untuk mengambil motosikal seorang lagi anaknya yang disaman dan ternampak suspek berada di balai sama sedang membisikkan sesuatu kepada polis.
“Sebelum sempat saya menunggang motosikal untuk pulang bersama seorang lagi anak lelaki yang berusia 17 tahun, seorang anggota polis datang kepada saya memaklumkan isteri saya telah dibunuh.
“Saya bergegas pulang dan mendapati jasad isteri terbaring dengan kepalanya sudah terpisah dari badan,” katanya. – UTUSAN