PUTRAJAYA: Ketirisan hasil negara RM277 bilion dalam tempoh enam tahun ini bukan sahaja akibat rasuah bentuk fizikal tetapi juga ketika kerjasama pihak berkuasa dan mereka yang memohon untuk mendapatkan tender-tender projek kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, salah satu isu ketirisan adalah berkaitan dengan perolehan dana kerajaan yang berkait dengan tender projek dan sebagainya.
“Mereka berebut-rebut untuk mendapatkan tender masing-masing bukan sahaja di peringkat kerajaan tetapi di sektor syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya dalam wawancara khas di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, di sini semalam.
Azam berkata, jumlah ketirisan besar sepatutnya boleh digunakan dalam pelbagai hal pembangunan masyarakat.
Menurutnya, amalan rasuah bukan sahaja menjadi punca peningkatan kos projek kerajaan, malah turut menyebabkan hasil negara gagal dikutip.
“Perbuatan itu akhirnya ditampung dengan menaikkan kos sesuatu projek. Untuk menutup bayaran rasuah, kos projek dinaikkan. Kenaikan itu mungkin antara 10 hingga 15 peratus dan keadaan ini memberi kesan terus kepada rakyat,” jelasnya.
Azam menegaskan, isu ketelusan perlu diberi perhatian serius kerana rasuah turut menyebabkan kerajaan kehilangan hasil dalam bentuk cukai, lesen serta kutipan lain.
“Oleh kerana adanya rasuah, ada pihak memandang sebelah mata atau menutup mata terus terhadap kutipan hasil negara. Hal ini berlaku di sempadan dan juga dalam kalangan pihak yang bertanggungjawab mengutip hasil kerajaan,” ujarnya.
Azam berkata, SPRM tidak hanya menekankan aspek pencegahan, sebaliknya turut memperhebatkan tindakan operasi pembanterasan.
“Banyak siasatan dan tangkapan dilaksanakan bagi membendung ketirisan hasil negara akibat rasuah,” jelasnya.
Azam memaklumkan, sebanyak 728 kertas siasatan telah dibuka tempoh Januari hingga 31 Julai lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 109 kertas siasatan kategori berprofil tinggi, tumpuan umum dan sensitif (HPPIS) manakala 619 adalah kategori biasa.
“Sebanyak 280 kertas siasatan adalah membabitkan agensi swasta diikuti kerajaan persekutuan (198); orang awam (104); kerajaan negeri (95) dan badan berkanun (38) dan GLC serta ahli politik (13).
“Kesalahan paling banyak direkodkan adalah tuntutan palsu iaitu 251 kes diikuti terima rasuah (239 kes) ; salah guna jawatan dan kedudukan (89 kes); pengubahan wang haram (54 kes) dan beri rasuah (47 kes),” ujarnya.
Kata Azam, sepanjang tempoh sama sebanyak 906 individu telah ditangkap iaitu 308 daripada mereka telah dituduh manakala 135 lagi disabitkan kesalahan.
“Kita juga telah menyita RM 6,810,933,701.24 di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.
“Selain sebanyak RM 5,725,059.29 telah dibeku dan dilucut hak sepanjang tempoh sama,” katanya. – UTUSAN











