Program Nilam bimbing prospek ke arah keinsafan

Program Nilam bimbing prospek ke arah keinsafan

Ibrahim dan Arifin (bukan nama sebenar) mendengar nasihat Zool Fadli Ismail sempena majlis Maulidur Rasul dan perasmian program Projek Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Penjara Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: “Saya cuma mahu keluar (dari penjara) suatu hari nanti untuk jaga anak-anak dan bahagiakan keluarga.”

Itu luahan Ibrahim, 50, seorang prospek Penjara Pulau Pinang yang sudah lebih empat tahun menanti keputusan perbicaraan kes melibatkan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Di sebalik jeriji besi, dia tidak lagi dikenali sebagai seorang bekas nelayan dari Langkawi. Sebaliknya, lelaki itu kini menjadi bilal surau penjara, mengajar al-Quran dan aktif dalam program keagamaan yang dianjurkan saban minggu.

Menurutnya, sejak lebih empat tahun mengikuti pengajian agama di dalam penjara hidup­nya berubah sepenuhnya.

“Saya belajar agama hampir lima tahun, jadi bilal, mengajar al-Quran. Walaupun belum tahu nasib hukuman, saya percaya Allah sudah susun semua ini,” katanya ketika ditemui di Penjara Pulau Pinang semalam.

Terdahulu, Ibrahim bersama kira-kira 300 prospek di Penjara Pulau Pinang menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul dan perasmian program Projek Nadi Ilmu Amalan Membaca (Nilam) anjuran Yayasan Dakwah Isla­miah Malaysia (Yadim) peringkat prospek Penjara Pulau Pinang, di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Yadim, Prof. Dr. Adi Anuar Azmin @ Che Wan dan Pengarah Penjara Pulau Pinang, Zool Fadli Ismail.

Mengulas lanjut, Ibrahim yang merupakan bapa kepada empat anak berusia antara sembilan hingga 27 tahun itu mengakui kerinduan terhadap keluarga semakin menebal, le­bih-lebih lagi sempena sambutan Maulidur Rasul.

“Harapan saya bila keluar nanti untuk menjaga isteri dan anak-anak. Saya mahu mereka mengaji dan hidup dalam bim­bingan agama. Program Nilam anjuran Yadim banyak bantu kami dari segi membaca bahan ilmu terutama yang mendekatkan kami dengan Allah,” ujar­nya.

Seorang lagi prospek, Arifin, 43, turut berkongsi kisah hampir sama.

Dia yang berasal dari Pulau Pinang ditahan pada 2023 di bawah Seksyen 39B selepas mendakwa dianiaya rakan yang menyuruhnya menghantar barangan, sebelum ditahan bersama ganja seberat satu kilogram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN