Pemandu e-hailing didenda RM10,000 buat berita palsu - Utusan Malaysia

Pemandu e-hailing didenda RM10,000 buat berita palsu

ABDUL Rahman Abdollah (kanan) didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah terhadap dua tuduhan menghantar komunikasi palsu, di Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang pemandu e-hailing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah terhadap dua tuduhan menghantar berita palsu kononnya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kira-kira tiga tahun lalu.

Abdul Rahman Abdollah, 41, didakwa telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu dengan niat menyakitkan hati orang lain menggunakan akaun Facebook ‘Abu Leman’.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 10.57 malam, 30 April 2019, dan telah dibaca oleh individu yang berada di Taman Pelangi, Fasa 10, Langkap, dekat sini pada pukul 12.30 tengah malam pada 2 Mei tahun yang sama.

Abdul Rahman turut didakwa melakukan perkara sama menggunakan laman blog ‘Abu Leman’ dengan niat sama pada tarikh sama dan dibaca oleh individu serupa di alamat sama.

Kedua-dua dakwaan itu dilakukan di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan hukuman.

Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin kemudian menjatuhi hukuman denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan penjara selama enam bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal membayar denda tersebut.

Abdul Rahman selaku Orang Kena Saman (OKS) membayar denda tersebut hari ini.

Pendakwaan dilakukan Fazril Sani Mohamed Fadzil manakala Abdul Rahman diwakili oleh Aiman Abdul Rahman.

Abdul Rahman didakwa pada Disember 2019 dan sebelum ini membuat pengakuan tidak bersalah dan dibicarakan bermula 9 Januari 2020, bagaimanapun membuat keputusan menukar pengakuan kepada bersalah, hari ini.

Terdahulu dalam rayuannya, Abdul Rahman yang berasal dan menetap di Melaka meminta hukuman ringan iaitu denda dan tidak dipenjarakan kerana ketika ini mempunyai enam tanggungan termasuk ibu, isteri dan anak manakala pendapatannya antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.

Pendapatan itu juga digunakan untuk merawat anak keduanya berusia 11 tahun yang menghadapi masalah paru-paru dan kerap berulang-alik dari Melaka ke Selangor untuk mendapatkan rawatan, selain ibunya yang juga berpenyakit dan sering mendapatkan rawatan di Hospital Besar Melaka.

Dia juga telah insaf, menyesal atas perbuatannya itu serta sudah memadam artikel tersebut dan pautan blognya di samping berjanji tidak akan melakukannya lagi.

Fazril Sani bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan mengutamakan kepentingan awam daripada kepentingan peribadi, sebagai tauladan agar orang ramai tidak melakukan perbuatan sama pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya