PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan mahu menyegerakan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) berhubung Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) disambut baik kumpulan agensi berdaftar pengambilan pekerja asing di negara ini.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid berkata, perkara itu jelas bakal memberi manfaat kepada kedua-dua negara antara Malaysia dan Indonesia bagi memenuhi kekosongan tenaga kerja sektor itu.
“PAPSMA menyokong penuh dan berterima kasih di atas keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang mengambil keputusan supaya MoU berhubung PDI segera dimeterai.
“Bagi pihak kesemua persatuan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia, kami menyambut baik keputusan ini agar keprihatinan kerajaan dapat memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Megat Fairouz mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan semalam bahawa Kabinet secara rasmi sudah menetapkan supaya MoU berhubung PDI ditandatangani secepat mungkin antara beliau dan rakan sejawat, Menteri Ketenagakerjaan, Ida Fauziyah dalam masa terdekat.
Difahamkan kelewatan pemeteraian MoU tersebut disebabkan beberapa tuntutan tambahan daripada pihak Indonesia mengenai masalah kebajikan dan kebimbangan risiko buruh paksa.
Ia sepatutnya telah ditandatangani awal minggu ini di Bali, Indonesia dengan kumpulan pertama projek perintis pengambilan sejumlah 10,000 orang PDI dibawa masuk sebelum sektor lain.
Dalam kenyataan itu, Saravanan berkata, perkara berkaitan MoU itu sebenarnya telah dibincang secara mendalam dalam beberapa siri mesyuarat Kabinet dan terkini pada 9 Februari lalu.
Beliau menegaskan bahawa beliau dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempunyai matlamat sama iaitu akan melindungi serta menjaga nasib kebajikan dan kesejahteraan semua pekerja Indonesia.
Ini terutamanya segala isu membabitkan aspek-aspek berkepentingan seperti soal gaji, cuti dan kebajikan mereka yang berada di dalam negara ini. – UTUSAN