KUALA LUMPUR: Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LPQB) akan dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung lawatan rasmi enam hari ke United Kingdom (UK) yang menelan kos lebih RM500,000.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, beliau telah menerima surat daripada beberapa peguam yang mempersoalkan keperluan lawatan tersebut.
“Para peguam mempersoalkan keperluan pergi ke luar negara untuk mempelajari tentang kursus bar, sedangkan maklumat itu sebenarnya boleh diperoleh di Malaysia,” katanya semasa sesi penggulungan perbahasan Laporan Ketua Audit Negara 3/2025.
Beliau turut memaklumkan bahawa lembaga tersebut telah mengadakan sesi dialog bersama pelajar Malaysia di UK yang disifatkannya sebagai wajar namun lebih wajar diadakan di dalam negara memandangkan 99 peratus pelajar berada di negara ini.
Kulasegaran berkata demikian sebagai maklum balas terhadap soalan RSN Rayer (PH–Jelutong) yang mempersoalkan justifikasi lawatan tersebut oleh LPQB.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar rekod kewangan LPQB yang tidak pernah diaudit selama 17 tahun dibawa ke Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk siasatan. – UTUSAN










