PARLIMEN: Permohonan SKPS untuk syarikat bot penumpang dibuka esok

PARLIMEN: Permohonan SKPS untuk syarikat bot penumpang dibuka esok

FUZIAH SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) khusus untuk syarikat bot penumpang akan dibuka mulai esok bagi memastikan penyaluran subsidi petrol RON95 kepada sektor berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan telus.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, buat masa ini, penyaluran subsidi kepada syarikat bot penumpang masih dilaksanakan secara bayaran balik tunai, sementara mekanisme subsidi dan penetapan kuota tetap bagi sektor itu dijangka dimuktamadkan pada akhir bulan ini.

“Pendaftaran SKPS bagi syarikat kenderaan perdagangan awam telah dibuka dari 15 September hingga 7 Oktober lalu dengan sebanyak 11,297 syarikat melibatkan 22,918 kenderaan telah berdaftar. Bagi syarikat bot penumpang, pendaftaran akan dibuka bermula esok,” katanya ketika sesi soal jawab Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN–Hulu Terengganu) mengenai pelaksanaan sistem kawalan subsidi di stesen minyak serta langkah Kementerian bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 berjalan lancar di seluruh negara.

Fuziah berkata, SKPS dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai platform rasmi bagi menerima permohonan, mengesahkan kelayakan serta meluluskan kuota subsidi untuk syarikat kenderaan perdagangan awam, darat dan bot penumpang.

“Sistem ini dibangunkan dengan kos RM492,900 dan berfungsi melengkapkan mekanisme kawalan penyaluran subsidi sektor perniagaan, manakala sistem Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi individu pula berada di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan (MOF).

“Pendekatan dua sistem ini ialah SKPS untuk sektor komersial dan BUDI95 untuk individu merupakan langkah penting kerajaan dalam memastikan subsidi RON95 sampai kepada pihak yang benar-benar layak serta mengelak ketirisan yang boleh menjejaskan perbelanjaan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN