KUALA TERENGGANU: Tindakan pembangkang memperkecil lawatan kerja empat hari Duta Khas ke Asia Barat, Tan Sri Abdul Hadi Awang ke Qatar baru-baru ini disifatkan sebagai serangan politik semata-mata.
Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, lawatan kerja itu hakikatnya memberi signifikan besar kepada negara terutama dalam konteks Asia Barat.
Katanya, Qatar adalah rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia di rantau berkenaan selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi dengan jumlah dagangan bernilai RM210 bilion direkodkan pada 2020 manakala eksport pula RM1.13 bilion dan import (RM970 juta).
Malah, menurutnya, dialog Abdul Hadi bersama Ketua Tetap Misi Emiriah Islam Afghanistan Ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sheikh Mohammed Suhail Shaheen anjuran Kementerian Luar Qatar juga satu penghormatan besar buat Malaysia untuk turut berperanan membantu negara Islam yang berada dalam kancah peperangan puluhan tahun.
“Apabila Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub mencari ruang memperkecil sesi dialog berkenaan, bagi saya ia lahir daripada sentimen politik kepartian semata-mata dan tidak objektif.
“Ibarat cerita seorang bapa dan anak dengan keldai mereka yang masyhur. Semua yang dilakukan tidak kena di pandangan mata para pengkritik,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Lawatan kerja yang bermula 31 Januari lalu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Qatar selain membincangkan isu kepentingan bersama di rantau Asia Timur dan seluruh umat Islam.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Khairuddin berkata, sesi perbincangan antara Abdul Hadi dengan Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia, Dr. Ahmad Raissouni juga sangat signifikan memandangkan pengaruh kesatuan itu di dunia Islam. – UTUSAN ONLINE