GEORGETOWN: Wanita berusia 46 tahun yang maut akibat ditikam oleh suaminya yang kemudian bertindak terjun membunuh diri dari tingkat 12 pangsapuri mereka di Paya Terubong semalam, didapati ditikam sebanyak 34 kali.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, perkara itu berdasarkan bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat wanita berkenaan hari ini.
“Berdasarkan hasil bedah siasat, wanita tersebut ditikam sebanyak 34 kali di badannya,” katanya hari ini.
Semalam, seorang lelaki ditemukan maut dipercayai selepas terjun dari tingkat 12 pangsapuri di Paya Terubong selepas dipercayai menikam isterinya hingga mati dengan sebilah pisau.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu yang bekerja di kilang di Bayan Lepas dekat sini, berselisih faham sehingga menyebabkan lelaki berusia 54 tahun itu menikam isterinya sehingga mati.
Polis turut menjumpai sebilah pisau dipercayai digunakan untuk menikam wanita itu hingga mati.
Pasangan berkenaan mempunyai anak berusia 18 tahun dan anak mereka tiada di rumah ketika kejadian berlaku kerana berada di rumah neneknya di Air Itam ketika kejadian. – UTUSAN ONLINE