PUTRAJAYA: Semua majikan diingatkan tidak menggunakan khidmat mana-mana agensi pekerjaan swasta bagi mengisi permohonan pekerja asing untuk sektor perladangan secara pengecualian khas.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, semua permohonan itu perlu diisi sendiri oleh majikan, bukannya agensi pekerjaan swasta.
Katanya, perkhidmatan agensi pekerjaan swasta hanyalah sebagai pemudah cara dan tidak boleh membuat permohonan penggajian pekerja warga asing bagi pihak majikan.
“Selaras dengan pengumuman saya berhubung permohonan pekerja warga asing bagi sektor perladangan kelapa sawit secara pengecualian khas yang telah dibuka mulai 28 Januari 2022, Sehingga semalam, kementerian menerima permohonan yang melibatkan anggaran sejumlah 7,500 pekerja warga asing dalam sektor perladangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saravanan berkata, terdapat permohonan yang diterima daripada majikan tetapi tidak dapat dipertimbang kerana tidak memenuhi syarat.
“Ia melibatkan majikan yang tidak layak menggajikan pekerja warga asing iaitu syarikat koperasi dan syarikat “outsourcing”. Malah, ada juga permohonan daripada majikan dalam sektor lain, yang mana permohonan cuma akan dibuka mulai 15 Februari ini,” katanya.
Januari lalu, Utusan Online melaporkan Saravanan memaklumkan Malaysia dan Indonesia bersetuju melaksanakan projek rintis pengambilan sejumlah 10,000 Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) dan dijangka dilaksanakan bulan depan.
“Projek rintis ini dilaksanakan dalam masa satu minggu selepas memorandum persefahaman (MoU) berhubung Pengambilan dan Penempatan PDI ditandatangani pada 7 dan 8 Februari ini di Bali, Indonesia
“Kerajaan Indonesia juga bersetuju membenarkan kemasukan 10,000 tenaga kerja warga Indonesia untuk sektor perladangan sebagai permulaan kepada pengambilan 32,000 pekerja warga asing dalam sektor perladangan secara pengecualian khas sebagaimana keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 April tahun lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE