SAINTE-ROSE: Seorang lelaki berusia 60 tahun di kepulauan Guadeloupe bertindak merompak sebuah pasar raya berhampiran balai polis semata-mata untuk dimasukkan ke penjara bagi menemani cucunya yang dipenjarakan.
Insiden luar biasa itu berlaku pada hujung September lalu di Sainte-Rose, sebuah komun di utara gugusan pulau berkenaan di mana lelaki tersebut, seorang bekas anggota bomba yang tidak pernah mempunyai rekod jenayah, memasuki pasar raya berkenaan dengan memakai penutup muka serta membawa sepucuk pistol.
Menurut laporan media tempatan, suspek meminta semua wang di kaunter juruwang sebelum turut mengambil sepotong keju Emmental dan sebotol wain.
Selepas itu, dia berjalan perlahan menuju ke keretanya, seolah-olah mahu dirinya ditangkap dan tidak lama kemudian, polis menahannya tanpa sebarang tentangan.
Hasil siasatan mendapati lelaki itu memang berniat untuk ditahan bagi membolehkannya berjumpa cucunya yang sedang menjalani hukuman penjara.
“Dia tidak berminat dengan wang. Dia hanya mahu masuk ke penjara supaya dapat bertemu cucunya dan sekurang-kurangnya dapat berjalan bersamanya,” kata peguam bela yang dilantik mahkamah, Léa Le Chevillier kepada AFP.
Tambah beliau, cucu kepada lelaki berkenaan pernah dilihat dengan gigi patah selepas dipukul oleh banduan lain ketika dalam tahanan, menyebabkan datuknya berasa terdesak untuk membantunya.
Lelaki tersebut didakwa atas kesalahan rompakan bersenjata, serangan ganas dan ingkar arahan polis namun, mahkamah mengambil kira latar belakangnya yang bersih serta motif tindakan itu yang dianggap luar biasa dan berpunca daripada keputusasaan.
Hakim memutuskan agar tertuduh tidak dipenjarakan, sebaliknya diarahkan membayar pampasan kepada mangsa rompakan, menjalani rawatan psikologi dan dilarang mengunjungi pasar raya yang sama.
Beliau juga masih dibenarkan melawat cucunya secara sah tanpa perlu menjadi banduan.










