Lelaki ditemukan mati ditetak sebelum dibakar - Utusan Malaysia

Lelaki ditemukan mati ditetak sebelum dibakar

ANGGOTA polis mengusung mayat seorang lelaki yang ditemukan mati dipercayai ditetak sebelum dibakar di Simpang Kuala, Alor Setar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki ditemukan mati dipercayai ditetak pada tangan dan muka sebelum dibakar di sebuah bangunan panggung wayang terbiar di Simpang Kuala di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Datuk G Suresh Kumar berkata, mayat lelaki tanpa identiti yang berusia 40-an itu ditemukan di bawah sofa dan tilam yang terbakar di dalam bilik tingkat atas bangunan terbabit.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja di sini menerima panggilan berhubung kebakaran di bangunan panggung wayang terbiar itu.

Katanya, anggota bomba yang melakukan operasi memadam kebakaran itu kemudian menemukan mayat lelaki tersebut.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kesan kecederaan tetakan di tangan dan muka mayat yang dipercayai dibunuh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Suresh berkata, hasil siasatan di lokasi turut menemukan sebilah pisau di  bawah bangunan tersebut.

Tambahnya, polis percaya kejadian tersebut dipercayai membabitkan lebih seorang suspek, namun tidak membabitkan kumpulan samseng.

“Susulan kejadian, polis menahan seorang lelaki berusia 59 tahun yang berada sekitar lokasi pada pukul 9.15 pagi bagi membantu siasatan.

“Anggota polis mengesan suspek yang berada sekitar bangunan dan semakan mendapati dia mempunyai beberapa rekod jenayah dan dadah sebelum ini,” jelasnya.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk pemeriksaan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN