KLANG: Cubaan mengaut hasil hampir RM70,000 dengan menyeludup masuk seramai 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan bot nelayan kelas C tempatan gagal apabila dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, tengah malam, semalam.
Pergerakan PATI itu dikesan pada pukul 12.35 tengah malam di kedudukan tengah laut kira-kira satu batu nautika barat daya Sungai Besar, Sabak Bernam.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, tangkapan tersebut merupakan yang paling ramai dalam satu operasi apabila menggunakan modus operandi (MO) pemindahan PATI di tengah laut.
Menurutnya, kesemua PATI itu dibawa dari kawasan-kawasan berbeza seperti di Tanjung Balai, Medan atau Lombok di Indonesia dan transit dekat sebuah penempatan sebelum pergi ke tengah laut untuk menaiki bot nelayan terbabit dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM2,500 seorang.
Katanya, berbanding sebelum ini, sindiket sedemikian bergerak secara runcit membawa sekitar tiga hingga lima orang PATI menggunakan bot nelayan kecil atau kelas A.
“Malah, ketika ditahan, tiga termasuk seorang tekong dan dua awak-awak (kru) berusia 35 hingga 59 tahun cuba bertindak agresif enggan menghentikan kapal mereka ketika dipintas oleh bot Maritim Malaysia.
“Tindakan agresif itu turut menyebabkan berlaku pergelutan dengan tekong dan mereka nekat terjun ke laut untuk meloloskan diri, namun akhirnya berjaya ditangkap sebelum bot dinaiki mereka tersangkut susulan air surut,” katanya, pada sidang akhbar hari ini.
Tambah Abdul Muhaimin, Pemeriksaan mendapati, kesemua ditangkap termasuk tekong dan kru seramai 30 orang terdiri daripada 23 lelaki dan tujuh perempuan berusia 22 hingga 70 tahun dari Indonesia itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan perjalan yang sah.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasku negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan dan tanpa dokumen sah serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Akta Perikanan 1985 kerana menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran.
“Maritim Malaysia turut menyiasat penglibatan pihak lain bagi mengenal pasti sama ada pemilik kapal terlibat dengan operasi sindiket berkenaan atau tekong dan kru terbabit menjadikan kegiatan itu sebagai aktiviti sampingan mereka ketika berada di tengah laut.
“Bagaimanapun ketika diperiksa, bot tersebut tidak menyimpan sebarang hasil laut. Kita juga siasat tindakan pemilik menggajikan pekerja asing (tekong dan kru) untuk menangkap ikan. Tekong baru dua bulan bekerja dan kru pula enam hari,” ujarnya.
Tambahnya Abdul Muhaimin, Maritim Malaysia akan terus memperketat kawalan dan meningkatkan operasi bagi membanteras jenayah maritim.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Selangor di talian 013-6606652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” tegasnya. – UTUSAN










