Selatan Thailand bergegar, 11 stesen minyak dibom 

Selatan Thailand bergegar, 11 stesen minyak dibom 

KEADAAN stesen minyak PPT yang terbakar dalam isiden letupan bom di Selatan Thailand. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Tiga wilayah selatan negara ini iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat hari ini digegarkan dengan letupan bom melibatkan 11 buah stesen minyak.

Sumber Perintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, serangan bom serentak kira-kira pukul 1.04 pagi ini melibatkan lima stesen minyak PPT di Wilayah Narathiwat, Yala (empat buah); dan Pattani (dua buah).

Katanya, pihak berkuasa percaya serangan terhadap semua stesen minyak itu melibatkan lebih 50 anggota kumpulan pemberontak yang lengkap bersenjata api.

“Serangan itu dilakukan serentak di semua stesen minyak berkenaan. Kumpulan itu melepaskan tembakan ke arah kedai serbaneka terlebih dahulu sebelum meletupkan bom,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber itu berkata, pihak berkuasa telah mengepung semua tempat kejadian untuk menjalankan siasatan menyeluruh.

Beliau berkata, Pengarah ISOC 4, Leftenan Jeneral Norathip Poynok mengarahkan semua anggota pasukan keselamatan di tiga wilayah berkenaan meningkatkan kawalan keselamatan.

Menurutnya, kawalan keselamatan di tiga wilayah ini juga ditingkatkan ke tahap tertinggi dan pihak berkuasa bersedia bertindak balas terhadap sebarang situasi.

“ISOC 4 juga telah mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati ketika di kawasan terlibat. ISOC 4 juga percaya serangan itu bertujuan mengganggu keamanan dan dilakukan kumpulan bersenjata.

“Sila ambil maklum bahawa sesiapa yang menyokong pelaku dalam apa jua cara, seperti mengangkut, menyembunyikan, menyediakan tempat perlindungan, atau menyediakan bekalan makanan, akan didakwa. 

“Ini merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 189 Kanun Jenayah, yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau denda tidak lebih 40,000 baht, atau kedua-duanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN