Lebih 40 tahun hadapi masalah air - Utusan Malaysia

Lebih 40 tahun hadapi masalah air

ROSLI Abd. Hamid meminta agar pihak berkenaan dapat menggantikan paip utama yang sudah terlalu lama bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Penduduk Kampung Chengkuak di sini, menggesa pihak berwajib supaya menggantikan paip air utama di situ yang kerap kali rosak dan bocor.

Kerosakan paip itu menyebabkan penduduk sering kali berhadapan masalah gangguan bekalan air yang berlarutan lebih 40 tahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Mohd. Nur Saman, 74, berkata, sejak menetap di Kampung Chengkuak 40 tahun lalu, masalah gangguan bekalan air bukanlah perkara baharu buat dirinya.

“Ia berlarutan sejak berpuluh-puluh tahun lalu sehinggakan kami di sini sudah lali dan penat hendak menghadapi masalah ini saban tahun.

“Terbaharu, hampir dua minggu kami berdepan masalah air yang sekejap ada dan sekejap tiada. Kalau ada pun sebelah malam sahaja,” katanya di sini semalam.

Mohd. Nur berkata, untuk bulan ini sahaja, boleh dikatakan sudah dua atau tiga kali mereka terpaksa berdepan dengan masalah gangguan bekalan air.

“Ia berlaku terlalu kerap dan memakan masa antara empat hingga lima hari untuk pulih seperti biasa. Kadangkala pernah juga sampai seminggu masalah ini berlarutan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Rosli Ab. Hamid, 51, pula berkata, difahamkan masalah gangguan bekalan air berlaku disebabkan terdapat kebocoran paip utama di situ.

“Kami dimaklumkan melalui notis yang diberikan oleh pihak berwajib mengatakan terdapat kebocoran paip di kawasan tertentu yang menyebabkan gangguan bekalan air.

“Ia merupakan alasan yang sama digunakan oleh pihak berkenaan selain masalah air keruh dan banjir. Justeru kami merasakan sudah sampai masanya paip utama itu diganti baharu agar masalah sama tidak berulang,” katanya.

Tambahnya, masalah terbabit tidak hanya dihadapi penduduk Kampung Chengkuak, malah juga sekitar 200 penduduk berhampiran seperti Kampung Belukar dan Kampung Sungai Balang.

“Paip utama yang menyalurkan air dari loji air Batu Balai kemungkinan sudah terlalu lama dan sudah tidak mampu lagi menampung tekanan air justeru menyebabkan berlakunya kebocoran.

“Kapasiti penduduk di tiga kampung ini semakin bertambah jadi tidak sesuai lagi menggunakan paip yang lama untuk menampung penggunaan air yang semakin meningkat,” katanya.

Rosli bagaimanapun merakamkan penghargaan kepada pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air atas penyediaan telaga tiub melalui projek Wakaf Air di Kampung Chengkuak.

“Telaga tiub itu sedikit sebanyak membantu mengatasi masalah air namun bagi penduduk selain Kampung Chengkuak, mereka berhadapan kesukaran untuk mengambil air di telaga itu atas faktor jarak selain rata-ratanya terdiri dari golongan warga emas,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN