PUTRAJAYA: Malaysia akan terus berdepan masalah kerajaan yang tidak stabil selagi tidak ada undang-undang menghalang mana-mana wakil rakyat bertindak lompat parti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan penyelesaian total jika akta antilompat parti tidak dikuatkuasakan.
Justeru, katanya, Rang Undang-Undang (RUU) akta berkenaan perlu dibentangkan terlebih dahulu selain dua lagi RUU iaitu Akta Pembiayaan Dana Politik dan Akta Mengehadkan Tempoh Dua Tahun Jawatan Perdana Menteri sebelum PRU-15 diadakan.
“Saya berpandangan Perdana Menteri wajar bubar Parlimen dalam tahun ini juga untuk memberi laluan kepada PRU-15 dengan tempoh paling sesuai antara Julai hingga September tahun ini.
“Bermakna bermula sekarang hingga Julai, kerajaan perlu serius menumpukan kepada pelaksanaan tiga reformasi politik itu yang dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik,” katanya di sini semalam.
Ismail Sabri kelmarin mengakui kerajaan akan tumbang jika mana-mana parti khususnya yang berpihak kepada kerajaan sedia ada mengambil keputusan menarik sokongan mereka.
Wan Ahmad berkata, jika tiga RUU itu dapat dibentangkan sebelum PRU-15, pasti kecelaruan dan kemelut politik yang melanda negara sejak PRU-14 hingga hari ini tidak akan berulang.
“Politik negara amat tidak stabil, amat menjejaskan ekonomi dan kehidupan rakyat. Justeru, opsyen terbaik sekarang ialah kembalikan mandat kepada rakyat,’’ katanya.
“Rakyat harus diberi peluang untuk membuat keputusan bagi menzahirkan sebuah kerajaan yang kukuh, teguh dan stabil. Inilah yang terbaik untuk masa depan rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN










