Kerja-kerja pengerukan di sekitar Jeti Kuala Perlis dimulakan atasi isu mendapan - Utusan Malaysia

Kerja-kerja pengerukan di sekitar Jeti Kuala Perlis dimulakan atasi isu mendapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan sudah melaksanakan kerja-kerja pengerukan di sekitar Jeti Kuala Perlis bermula semalam bagi mengatasi isu mendapan yang kerap berlaku di jeti berkenaan. 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, kerja-kerja itu akan berlangsung sehingga 20 Februari ini sekali gus  meningkatkan keselamatan pelayaran feri penumpang, nelayan dan pengusaha bot di perairan tersebut. 

Beliau berkata, Jabatan Laut Malaysia (JLM) juga mengambil langkah serta-merta untuk melantik kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja pengerukan melalui Perolehan Darurat untuk tujuan pengerukan di lembangan jeti. 

“Kerja-kerja pengerukan akan memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat bagi mengatasi fenomena air pasang besar yang menyebabkan limpahan air laut dan berlakunya banjir di Kuala Perlis dan kawasan setempat,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini. 

Katanya, sebelum ini, JLM melaksanakan kerja-kerja pengerukan alur pelayaran dengan panjang alur yang dikeruk adalah 5.6 kilometer pada kedalaman 2.0 meter Chart Datum (CD) di Jeti Kuala Perlis semenjak Ogos 2018 hingga Mac 2019 dengan kos keseluruhan RM13.8 juta. 

Ka Siong berkata, pihaknya yakin kerja-kerja berkenaan dapat diselesaikan dalam kadar segera demi memastikan kelancaran perkhidmatan feri khususnya bagi sektor pelancongan Langkawi-Kuala Kedah-Kuala Perlis.

Katanya, pihaknya turut melantik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan kajian penyelesaian mampan untuk mengatasi masalah mendapan di jeti berkenaan. 

“Kajian ini dijadualkan siap pada 28 Februari ini dan dijangka menghasilkan syor-syor penambahbaikan yang dapat diguna pakai kerajaan.

“JLM juga dalam proses menjalankan kerja pengerukan yang lebih menyeluruh di lembangan hadapan Jeti Kuala Perlis dan juga alur pelayaran sepanjang 9 km pada kedalaman 4.0 meter CD dan 70 meter lebar,” katanya. 

Pada 2 Februari lalu, feri Langkawi-Kuala Perlis tidak dapat belayar mengikut jadual ditetapkan disebabkan air alur pelayaran Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis telah surut di bawah paras 1.6 meter.

Keadaan itu menyebabkan feri-feri yang beroperasi hanya boleh merapat dan belayar apabila air pasang sekali gus menyebabkan kelewatan ketibaan feri dari Jeti Kuala Perlis dan menyebabkan kesesakan di Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya