CANON Marketing Malaysia (Canon) memperkenalkan kit penciptaan kandungan terbaharu di Malaysia, sekali gus menawarkan fleksibiliti luar biasa untuk memenuhi pelbagai keperluan penceritaan digital.
Dua produk yang dilancarkan adalah kamera bingkai penuh EOS R6 V serta lensa profesional siri-L bingkai penuh pertama Canon yang dilengkapi fungsi Power Zoom, RF 20-50mm f/4L IS USM PZ yang disasarkan kepada pencipta kandungan moden.
Ketua Bahagian Perniagaan Komunikasi Pengimejan Canon Marketing Malaysia, Edward Chang berkata, pencipta kandungan hari ini menghasilkan karya merentasi pelbagai platform dan format yang memerlukan prestasi serta kemudahan tinggi.
“EOS R6 V dan RF 20-50 mm f/4L IS USM PZ direka untuk menawarkan prestasi serta kemudahan bagi membantu mereka berkarya dengan lebih yakin, sama ada untuk produksi profesional mahupun kandungan harian seiring falsafah ‘Delighting You Always’,” katanya dalam kenyataan.
Canon EOS R6 V
Kamera bingkai penuh ini menampilkan prestasi fotografi dan video berkuasa dalam badan yang dioptimumkan khusus untuk penciptaan kandungan video media sosial.
Ia dilengkapi sensor CMOS bingkai penuh dengan sehingga 32.5 megapiksel efektif serta keupayaan rakaman 7K Open Gate RAW/MP4 yang menggunakan keseluruhan kawasan sensor ketika merakam video.
Menerusi ciri ini, pengguna mempunyai lebih fleksibiliti untuk mengolah kandungan format mendatar kepada format menegak tanpa perlu melakukan rakaman berulang kali secara berasingan.
Bagi menangani isu haba, kamera ini dilengkapi kipas penyejuk terbina dalam yang membolehkan rakaman video dilakukan sehingga kira-kira tiga kali lebih lama berbanding model terdahulu, sesuai untuk penggambaran temu bual panjang atau acara langsung.
Kamera ini turut direka mesra kandungan menegak menerusi soket tripod menegak khas untuk pemasangan yang lebih stabil serta sistem antara muka pengguna (UI) yang menyesuaikan paparan secara automatik mengikut orientasi kamera.
Untuk kemudahan rakaman diri, EOS R6 V dilengkapi butang rakaman hadapan, lampu laras (tally lamp) yang menyala ketika rakaman berlangsung, serta cengkaman ergonomik yang besar untuk keselesaan penggambaran tanpa tripod.
Lensa RF 20-50mm f/4L IS USM PZ
Lensa gred profesional ini menawarkan julat zum serba guna daripada sudut ultra lebar 20 milimeter (mm) untuk visual persekitaran sehinggalah jarak fokus 50 mm bagi rakaman dekat dengan perspektif semula jadi.
Ia dilengkapi fungsi Power Zoom terbina yang memastikan peralihan zum lebih lancar dan sinematik, manakala reka bentuk apertur tetap f/4 memberikan pendedahan cahaya yang konsisten walaupun ketika melakukan zum.
Sistem penstabilan imej peralihan sensor lima paksi dalam badan kamera (In-Body IS) pada EOS R6 V berfungsi selari dengan Optical IS pada lensa ini untuk menghasilkan rakaman yang sangat stabil ketika bergerak.
Pengguna boleh bertukar antara fungsi power zoom dan operasi manual konvensional dengan mudah menerusi suis pemilih mod zum baharu, selain reka bentuk panjang barel lensa yang kekal sama ketika zum bagi memudahkan penggunaan gimbal atau rig.
Lensa ini hadir dengan reka bentuk kompak sekitar 98.4 mm dengan berat kira-kira 420 gram serta menampilkan binaan tahan habuk dan percikan air untuk ketahanan maksimum di lokasi penggambaran.
Ekosistem aksesori tambahan
Bagi mod fotografi, kamera ini menyokong rakaman berterusan sehingga 40 bingkai sesaat (fps) dengan pra-rakaman serta kesan penstabilan sehingga 8.0 hentian apabila dipadankan bersama lensa siri-L terbaharu ini.
Untuk aliran kerja pembuatan filem yang lebih maju, peranti ini menyokong Canon Log 2/3, Custom Picture, paparan waveform monitor, rakaman audio 4-saluran serta terminal HDMI Jenis-A standard.
Canon turut memperkenalkan Alat Kawalan Jauh Tanpa Wayar BR-E2 baharu bersambung Bluetooth yang menawarkan butang rakaman video khas serta fungsi yang boleh disesuaikan untuk kawalan jarak jauh. – UTUSAN










