GEORGETOWN: Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 seperti dicadangkan tahun ini dikhuatiri akan mengakibatkan berlaku masalah inflasi yang lebih meruncing.
Sehubungan itu, Naib Presiden Gerakan, Baljit Singh berkata, tindakan beberapa pihak mendesak kerajaan menaikkan gaji minimum ketika ini bukan satu langkah tepat.
Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan awal menunjukkan Indeks Harga Pengguna Malaysia meningkat sebanyak 3.2 peratus pada suku keempat tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.
“Bagi 2021, inflasi purata ialah 2.5 peratus berbanding deflasi sebanyak 1.2 peratus pada 2020, jadi kenaikan gaji minimum kepada RM1,500 akan menyebabkan berlaku masalah inflasi yang lebih besar.
“Gaji yang lebih tinggi hanya akan memacu harga barangan menjadi lebih tinggi kerana menyebabkan berlaku lonjakan kos sebenar berpunca daripada keadaan yang tidak sekata dalam penawaran dan permintaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta kadar gaji minimum dinaikkan segera kerana semakan kadar itu sepatutnya diadakan dua tahun sekali dan beranggapan kerajaan sudah banyak membantu majikan bagi memastikan mereka kembali ke landasan pemulihan ekonomi seperti sediakala.
Ketika ini, Majlis Perundingan Gaji Negara dalam proses penyediaan Kertas Jemaah Menteri untuk mengemukakan syor berhubung kadar gaji minimum kepada Kabinet berdasarkan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2020.
Menurut Baljit, majikan mesti mencari jalan untuk membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat kepada pekerja mereka.
“Majikan mungkin boleh menawarkan subsidi makanan kepada kakitangan yang bekerja dari rumah, kerana bekerja dari rumah menjimatkan kos penggunaan pejabat seperti elektrik dan air,” katanya.
Tambahnya, BNM dan Kementerian Kewangan patut campur tangan dalam memastikan kos produk dan perkhidmatan dapat diturunkan dengan segera.
“Selain itu, syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga tidak seharusnya mempertimbangkan kadar kenaikan harga buat masa ini sehingga kadar inflasi dikawal,” katanya. – UTUSAN











