Jenazah Pakya selamat dikebumikan

Jenazah Pakya selamat dikebumikan

JENAZAH Allahyarham Pakya atau Yahya Atan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudah, Taman Mount Austin, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jenazah bekas ketua jurulatih skuad hoki lelaki dan wanita kebangsaan, Yahya Atan atau lebih dikenali sebagai Pakya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudah, Taman Mount Austin, di sini hari ini.

Allahyarham yang meninggal dunia akibat pendarahan dalaman di bahagian kepala ekoran diserang strok pada 24 Februari lalu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.45 petang semalam ketika dirawat di wad kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Anak Allahyarham, Mohammad Nazrin, 30, memberitahu, bapanya disahkan oleh doktor terkena strok serta terdapat darah beku pada bahagian sebelah kiri otak.

“Bermula daripada situ, kesihatan ayah semakin lemah dari hari ke hari akibat berlaku pendarahan yang banyak sehingga merebak ke keseluruhan otak, itu salah satu punca kematiannya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Anak ketiga daripada empat beradik itu turut memberitahu, Allahyarham pernah diserang strok pada Disember tahun lalu, namun telah pulih dan kesihatannya semakin baik selepas itu.

Mohammad Nazrin yang juga jurulatih hoki di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba di Kuala Pilah memberitahu, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar terhadap negara khususnya dalam bidang sukan berkenaan.

“Ayah bukan sahaja seorang jurulatih kepada pemain-pemain, tetapi dia juga merupakan seorang guru kepada saya, jadi saya sangat terasa dengan kehilangannya. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada kawan-kawan, anak murid, pemain hoki yang lain serta pemimpin negara kerana mendoakan kesejahteraan ayah saya,” ujarnya.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Melayu Majidee, di sini, meninggalkan seorang balu, Tupiah Robin, 66, bersama empat orang anak dan enam cucu.

Selain merupakan jurulatih skuad hoki kebangsaan negara, Allahyarham juga pernah menyarung jersi kebangsaan pada Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles, Amerika Syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN