PETALING JAYA: Gerak kerja fitnah ala Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sedang berulang bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, modus operandi sama apabila terus menjadikan pimpinan Barisan Nasional (BN) sebagai sasaran persepsi untuk menghasut rakyat kepada politik kebencian.
Katanya, antaranya membabitkan fitnah berhubung teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Genting Hong Kong, dadah sehingga kepada propaganda botol minuman.
“Percayalah itu cuma mukadimah. Tentunya rakyat khususnya Bangsa Johor akan dihidangkan dengan lebih banyak fitnah dan propaganda jahat. Namun mungkin ada hikmah di sebaliknya kali ini kerana menjadi bukti nyata nilai politik sebenar mereka menghembuskan penipuan dan pembohongan.
“Rakyat kini dapat mengetahui dan memahami dengan lebih jelas yang mana intan atau kaca. Yang mana kebenaran dan yang mana kebatilan. Dan tidaklah mereka itu hirau tiada keberkatan menang dengan fitnah dan pembohongan. Lihatlah kekalutan pentadbiran mereka apabila diberi kuasa,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Justeru itu, Ahmad Zahid mengesa semua pihak untuk berhati-hati dengan gerak-geri kumpulan tersebut yang akan bergerak dengan full throttle untuk PRN Johor kerana begitu terdesak untuk menyekat kemaraan BN.
“Bagi mereka BN bangkit di Johor bermaksud kebangkitan BN sudah tidak mampu dihalang. Justeru mereka akan lakukan apa sahaja. By hook or by crook tanpa menghiraukan halal atau haram, sama seperti PRU-14 mereka akan berusaha menamatkan kemaraan BN.
“Bagaimanapun muslihat mereka pastinya gagal sekiranya Bangsa Johor berbilang kaum dan agama bertekad untuk bermuafakat. Johor bermuafakat untuk mengembalikan kemakmuran, kesejahteraan dan kestabilan lalu yang telah dirampas oleh fitnah dan tipu daya pada 9 Mei 2018,” jelas beliau. – BERSATU










