Dua menteri Bersatu masuk UMNO hanya khabar angin - Utusan Malaysia

Dua menteri Bersatu masuk UMNO hanya khabar angin

HAMZAH Zainudin bercakap dalam sidang akhbar di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menganggap khabar angin kononnya dua pemimpin parti itu mahu kembali kepada UMNO sebagai satu bentuk ‘perang saraf’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perang saraf biasa berlaku dalam politik tanah air terutama ketika menjelang PRN.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, khabar angin itu juga antara lain bertujuan mewujudkan perang psikologi selain ingin menunjukkan kepincangan dalam Bersatu.

“Mereka hanya mahu maklumkan kepada rakyat Johor supaya jangan percaya kepada Bersatu kerana pemimpinnya pun nak balik kepada UMNO. Kalau khabar angin tak payah percaya, kalau surat layang lagilah jangan percaya, namun kalau diumumkan oleh orang yang nak keluar itu, kena percayalah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus di media sosial sejak semalam kononnya dua menteri dari Bersatu mahu menyertai semula UMNO.

Dua individu berkenaan melibatkan seorang menteri senior memegang jawatan kanan dalam parti Bersatu, manakala seorang lagi pemimpin yang agak muda pula hanya memegang jawatan biasa tetapi berstatus Menteri.

Hamzah berkata, perang saraf dalam politik biasa berlaku dan ia dilakukan demi kepentingan dan perjuangan untuk parti mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN