KUALA TERENGGANU: Polis sedang mengesan sekumpulan remaja bawah umur yang menunggang basikal lajak secara berbahaya di kawasan Jambatan Angkat (Drawbridge) di sini, baru-baru ini.
Tindakan mereka yang meluncur laju dari cerun jambatan tanpa sebarang pengawasan bukan sahaja mengundang risiko kemalangan malah turut membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkaitan video tular yang memaparkan sekumpulan remaja menunggang basikal lajak di jalan raya utama berdekatan Drawbridge tanpa mempedulikan kehadiran kenderaan lain.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti identiti semua individu yang terlibat. Kita pandang serius perkara ini kerana ia melibatkan aspek keselamatan jalan raya dan boleh membawa kepada insiden tidak diingini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, dalam kes ini, dua kesalahan dikenal pasti iaitu mengubah suai basikal dan menunggang secara berbahaya. Tindakan turut boleh diambil terhadap ibu bapa atau penjaga sekiranya didapati cuai mengawasi anak-anak.
Terdahulu, tular video berdurasi kurang satu minit di platform TikTok yang memaparkan sekumpulan kanak-kanak menunggang basikal lajak secara berbahaya menuruni cerun Drawbridge. – UTUSAN











