Dua menteri Bersatu masuk UMNO? - Utusan Malaysia

Dua menteri Bersatu masuk UMNO?

MAZLAN BUJANG pada PRN Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Desas-desus berhubung dua menteri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu menyertai semula UMNO bertiup kencang di media sosial sejak kelmarin.

Dua individu berkenaan melibatkan seorang menteri senior memegang jawatan kanan dalam parti Bersatu manakala seorang lagi pemimpin yang agak muda pula hanya memegang jawatan biasa tetapi berstatus menteri.

Walau bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang borang keahlian yang kononnya diserahkan oleh dua menteri Bersatu yang ingin kembali kepada UMNO.

“Malah kita pun tidak terima borang keahlian dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Johor yang keluar parti baru-baru ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya lagi, khabar angin itu masih berbentuk spekulasi sehinggalah pihaknya menerima borang keahlian UMNO.

Sementara itu, bekas Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang tidak terkejut apabila melihat ramai pemimpin parti itu di peringkat akar umbi bertindak keluar beramai-ramai.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa itu berkata, tindakan serupa akan dibuat lebih ramai lagi pimpinan dan ahli-ahli parti itu tidak lama lagi yang mencerminkan Bersatu memang tiada hala tuju.

Katanya kepada Utusan Malaysia, jika terdapat rundingan antara Bersatu atau Perikatan Nasional (PN) dengan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, ia merupakan langkah terdesak parti itu untuk kekal berkuasa.

Pada 27 Januari lalu, Mazlan meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu Tebrau berkuat kuasa serta merta dan keluar parti itu selepas sudah lama memendam rasa dengan parti itu yang meminggirkannya sejak dahulu.

Ia termasuk diboikot Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak pernah menghadiri atau menghantar wakil mesyuarat pimpinan negeri ketika beliau memimpin Bersatu Johor, sebelum ini.

Dua hari kemudian, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad mengambil tindakan serupa apabila keluar dari Bersatu kerana hilang kepercayaan kepada Muhyiddin yang bukan sahaja gagal membawa parti ke tahap lebih baik malah tidak berusaha memulihkannya selepas perpisahan dengan kumpulan Tun Dr. Mahathir Mohamad. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN