SUNGAI PETANI: Polis menyelamatkan dua beradik berusia setahun dan enam tahun selepas didapati menjual sayur tanpa penjaga di sebuah pusat beli-belah di Jalan Kampung Baru, di sini semalam.
Sebelum diselamatkan pada pukul 6.30 petang itu, tular gambar dua beradik tersebut menjual sayur di lokasi tersebut dalam media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abdul Rahman berkata, bertindak atas maklumat orang awam, anggota polis ke pusat beli-belah itu dan menahan dua beradik berkenaan bersama seorang wanita berusia 39 tahun yang mengaku ibu kepada kanak-kanak terbabit.
“Siasatan awal mendapati wanita itu mengaku meninggalkan dua anaknya dengan alasan pergi ke bank bersebelahan untuk memasukkan wang kepada seorang lagi anaknya. Bagaimana wanita itu ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan ujian saringan air kencing juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Beliau memberitahu, semakan rekod mendapati wanita berstatus ibu tunggal dan mengaku berasal dari Sik itu juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Tambah Anuar, wanita itu kini ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1958 manakala dua anaknya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE