PADANG TERAP: Keadaan cuaca terlampau panas dan faktor tanah yang subur membolehkan buah harumanis yang sinonim di Perlis turut berbuah lebat di daerah ini sejak awal bulan ini.
Antaranya di ladang milik Zulkipli Hashim, 67, yang memiliki 300 pokok dan sehingga kini sudah mengeluarkan lebih satu tan hasil buah itu untuk dijual kepada pelanggan.
Menurut pesara kerajaan itu, dia mula mengusahakan tanaman harumanis sejak tahun 2018 selepas tanaman ubi keledek, limau langkat dan getah yang diusahakannya tidak menjadi.
“Satu faktor saya sedar keadaan di Padang Terap ini, kita satu jajaran dengan Perlis yang mana cuacanya tidak banyak berbeza malah ketika tanaman tebu diusahakan secara besar-besaran di Chuping dahulu, Padang Terap juga ada tanam tebu sehingga wujudnya kilang gula.
“Maka, saya mula beralih tanaman kepada harumanis yang benihnya turut diperoleh di Perlis serta bantuan tunjuk ajar pelbagai pihak daripada awal saya bertukar ke tanaman ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Nyior, semalam.
Menurut Zulkipli, sepanjang lapan tahun mengusahakan harumanis di ladangnya, hasil pada tahun ini paling banyak dalam rekod mereka yang selalunya purata satu tan buah semusim.
“Tetapi kali ini sejak tuaian pertama 2 April lalu sudah lebih satu tan buah kami petik untuk dipasarkan dan kami menjangkakan kesemua hampir 30,000 buah ini boleh mendatangkan hasil lebih enam tan tahun ini,” ujarnya.
Tambahnya, dari segi harga di ladang, harumanis berkenaan dijual antara RM20 hingga RM25 sekilogram untuk buah kategori premium yang bersaiz sekitar 500 gram sebiji.
“Untuk jualan tiga kilogram termasuk pos kami kenakan hanya RM100 yang diuruskan sepenuhnya dari ladang ini sehingga sampai ke tangan pelanggan,” katanya.
Sementara itu, rakan kongsinya, M. Zahir Mustafa, 58, berkata, kualiti pengurusan ladang dan kualiti buah turut memainkan peranan dalam menyumbang kepada pengeluaran hasil yang optimum.
“Kita memang menjaga kualiti buah dari awal, sebagai contoh untuk satu tangkal terdapat tiga biji buah yang keluar tetapi satu daripadanya bersaiz besar, maka dua biji lagi kita buang bagi membolehkan pembesaran buah premium tidak terganggu,” katanya. – UTUSAN











