Dakwaan cabul bertujuan jatuhkan karier politik - Utusan Malaysia

Dakwaan cabul bertujuan jatuhkan karier politik

RASMAN ITHNAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Tinggi, Rasman Ithnain sekali lagi menegaskan dakwaan cabul terhadap seorang wanita yang melibatkannya merupakan konspirasi politik untuk ‘membunuh’ karakter beliau selaku ahli politik.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pengadu membuat sumpah laknat semalam, Rasman berkata, konspirasi terancang itu tidak akan sekali-kali melemahkan semangat beliau untuk berjuang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Bagaimanapun, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili itu tidak mahu membuat komen lanjut berhubung siasatan polis ke atas laporan yang dibuat wanita itu yang juga anak kepada bekas Ketua Srikandi Bersatu bahagian.

“Negara kita mempunyai undang-undang yang harus dipatuhi dan diikuti. Saya telah dinasihati oleh barisan peguam untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan. Hal ini disebabkan siasatan masih berjalan dan sebarang kenyataan atau spekulasi berpotensi untuk memprejudis dan memberi kesan terhadap hasil siasatan.

“Saya juga telah memberi kerjasama dan komitmen penuh kepada polis sepanjang tempoh siasatan. Malangnya melalui kenyataan media yang dibuat oleh bekas Ketua Srikandi tersebut dan anaknya semalam, mereka turut menyatakan tuduhan terhadap saya secara terbuka.

“Malah, terdapat kenyataan berbaur fitnah yang dilemparkan. Tindakan ini bukan sahaja membuka ruang untuk tuduhan rambang kepada saya oleh pelbagai pihak, namun dengan jelas merupakan satu usaha untuk terus mencemarkan nama saya sedangkan polis masih menyiasat kes ini,” katanya di sini semalam.

Semalam, wanita terbabit, Nursyafiqah Badsulhisham, 27, yang juga ahli jawatankuasa Srikandi Bersatu Kota Tinggi membuat sumpah laknat mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh Rasman seperti dalam laporan polis dibuatnya sebelum ini.

Oleh itu jelas Rasman, apa-apa tindakan atau komen daripada wanita itu dan ibunya boleh menjadi gangguan kepada siasatan dan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau turut berharap kes itu diputuskan segera memandangkan ia memberi impak yang besar kepada semua pihak walaupun sentiasa percaya beliau berada di pihak yang benar selain meletak kepercayaan kepada sistem keadilan negara.

Sementara itu, Rasman berkata, keputusan ibu wanita tersebut meletak jawatan selaku Ketua Srikandi Bersatu bahagian tidak mengejutkan dan memaklumkan wanita berkenaan juga selama ini kurang memberi komitmen kepada parti.

“Ketidakpercayaan kepada saya seperti yang dinyatakan oleh beliau adalah perkara yang nyata dan jelas yang ditunjukkan melalui tindak-tanduk sejak dilantik sebagai Ketua Srikandi bahagian lagi. Bersatu Kota Tinggi berstatus ‘penaja’ pada 7 November 2020 apabila kepimpinan terdahulu keluar untuk menganggotai Parti Pejuang.

“Saya telah dilantik sebagai Ketua Penaja ketika itu dan kekal mendapat sokongan serta kepercayaan ahli sebagai Ketua Bahagian Bersatu yang dipilih dan dilantik apabila menang tanpa bertanding pada persidangan lepas. Oleh itu, tidak timbul isu hilang kepercayaan ataupun keyakinan oleh ahli-ahli parti kepada saya sebagai ketua bahagian,” katanya.

Rasman berkata, sekiranya benar wujud isu atau masalah seperti dinyatakan, ia boleh diselesaikan di peringkat dalaman parti kerana beliau terbuka menerima apa-apa maklum balas dan akan sentiasa berhubung dengan kepimpinan di peringkat negeri mahupun pusat dalam mendapatkan nasihat bagi menyelesaikan masalah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN