DOHA: Ketegangan serantau melonjak ke tahap baharu apabila satu letupan kuat menggegarkan ibu kota Qatar, hanya beberapa jam selepas Israel mendedahkan kepada media pihaknya menyasarkan pemimpin tertinggi Hamas yang beroperasi dari Doha.
Letupan yang berlaku di tengah bandar raya Doha itu disertai dengan kepulan asap hitam tebal yang menjulang ke udara, mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.
Rakaman yang disiarkan oleh Al Jazeera menunjukkan kesan letupan jelas kelihatan dari kawasan pusat bandar.
Beberapa sumber dalam Hamas memberitahu media serangan itu menyasarkan pertemuan penting antara pemimpin sayap politik Hamas yang membincangkan tawaran gencatan senjata baharu yang diusulkan oleh Amerika Syarikat.
Antara individu yang didakwa menjadi sasaran termasuk tokoh kanan Hamas yang selama ini berpengkalan di Doha.
Jurucakap tentera Israel mengesahkan serangan itu sebagai sebahagian daripada “tindakan menyasarkan musuh di mana sahaja mereka berada,” tanpa memberikan maklumat terperinci mengenai lokasi sebenar atau kaedah pelaksanaan.
Kementerian Luar Qatar dalam kenyataan rasmi mengecam serangan itu sebagai ‘pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa’ dan ‘ancaman serius terhadap keselamatan negara serta rakyat Qatar’.
Pemimpin Hamas sejak bertahun-tahun menjadikan Qatar sebagai markas politik mereka di luar Palestin.
Negara itu juga sering menjadi perantara penting dalam rundingan antara Hamas dan Israel, termasuk dalam beberapa rundingan gencatan senjata sebelum ini.
Hamas dalam pada itu mengesahkan tiada anggota atau pemimpinya cedera atau terkorban dalam serangan itu.










